Wednesday, October 30, 2013

Kisah 2: Permusafiran Penuh Teguran. Part 1


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Jujur jari jemari ini sudah lama tidak menari menaip entri terkini. Hampir sahaja password blog ini luput dari ingatan, masakan tidak sudah berbelas bulan tiada post tambahan.

Jika ingin mengomel pastinya memakan masa yang lama untuk dibaca, tujuan penulisan ini juga adalah untuk persediaan menulis latihan Ilmiah pada semester hadapan. Biar ada rasa semangat itu hadir dalam diri si pemalas ini.

Istilah MUSAFIR sangat dekat dengan diri ini. Teman-teman seringkali bertanya kepada aku setiap kali waktu Cuti :

Sahabat : weh Radi, cuti ni ko ke mana jer?
Aku : tak tahu lagi, kalau ada rezeki ada la.

Jikalau difikirkan perihal rezeki, ulat dalam batu juga mampu hidup berdikari. Aku bukan orang yang kaya, namun aku punya jiwa dan rasa ingin menjelajahi dunia. Jujur, di sini kita bermain dengan niat dan azam kita. Jika kita ingin sesuatu, pastikan ia berlaku. Untuk ia berlaku pasti laluannya berliku-liku.

Bermula tahun 2010 aku sudah mula ke luar negara dimulai dengan negara China (sudah diceritakan di post sebelum ini), diikuti negara Mesir (tidak cerita secara menyeluruh), kemudian Indonesia (ada juga post berkaitan dengannya), diikuti pula Singapura ( sudah dinukilkan ), diteruskan lagi dengan negara Thailand ( belum dikongsi lagi kisahnya), kemudian Korea ( masih ternanti-nanti untuk menulis mengenainya), seterusnya Sri Lanka ( akan dikongsi kisahnya) dan Terakhir Saudi Arabia .
8 negara kesemuanya tidak termasuk Kuwait yang hanya transit sahaja.

Kesemua negara-negara ini ada kisahnya tersendiri dan yang pasti saya teringin sekali ingin berkongsi berkaitan kehidupan masyarakat di sana terutamanya masyarakat Islam. Rugilah sekiranya kita ke negara orang cuma berjalan untuk keseronokan. Maka saya lakukan sesuatu yang bermanfaat untuk semua iaitu sedikit kajian yang akan saya rekodkan melalui penulisan.


Baiklah, bila kita bercakap soal Saudi Arabia, pastinya kita akan terbayang masyarakat arab, orang yang kaya, pendidikan percuma dan sebagainya. Namun bila kita bercakap mengenai Umrah atau Haji, ialah lebih specific, kita terbayang Masjid Nabawi yang berkubah hijau, dan Masjidil Haram yang terletaknya Kaabah di tengahnya. Menjadi Qiblat umat Islam seluruh dunia.

Tidak tahu saya ingin mula dari mana, bila teringat mengenai kisah perjalanan ke sana, bibirku menguntum senyuman dan kadang-kadang air mata mengalir tanpa diundang.

Sebenarnya perancangan ke kota Makkah dan Madinah sudah lama dirancang sejak tahun lepas lagi. Sudah saya maklumkan kepada kedua iba bapa dengan lafaz :

Aku : Mak, arid cadang nak pergi umrah la bulan 7 (2012) ni, Ramadhan di sana.
Mak : oo.. Ok. Kumpul duit.
Aku : ok.

Perbualan ini hanya bermula di FB semata, biar ibubapa tahu dulu hajat anaknya.

Namun, ia tergendala kerana tawaran International Student Centre U.M yang memberiku peluang untuk Ke Korea selama tiga minggu. 70 % ditanggung oleh U.M dan 30% sendiri (sekitar Rm600). Saat tawaran ini kuterima, terus ku hubungi ibu untuk minta pendapatnya. Aku sedikit pon tidak terfikir untuk ke Korea, aku bukannya peminat filem korea, Kpop dan sebagainya. Pendek kata, Korea tiada dalam kamus hidupku. Namun perancangan Allah itu lebih baik. Kita rasa dulu baru kita tahu. Memandangkan wang tabunganku masih belum cukup untuk umrah yang memakan kos yang agak tinggi, aku terus menerima tawaran ke Korea.



Saat itu, aku sudah terfikir. Lambat lagilah nampaknya aku akan ke tanah suci, wang tabungan sudah habis digunakan  sewaktu berada di Korea. Namun Allah itu maha pemurah, aku masih diberi peluang untuk mengajar Home Tuition yang gajinya Alhamdulillah mampu membuatku berfikir semula mengenai perancangan ke Tanah suci sedangkan teman-temanku yang lain berkira-kira untuk beli motor baru mahupun gadjet terbaru.

Nah, masanya sudah tiba. Wang sudah terkumpul walaupun belum cukup sebenarnya. Sebulan sebelum bertolak ke Tanah suci, aku masih tercari-cari agensi yang termurah. Pada awalnya ingin saja aku pergi secara sendiri, tanpa melalui agensi. Namun Visa umrah hanya boleh diambil melalui agensi. Aku ingin pergi dengan Kos yang paling kecil.

Kisah Permusafiranku bermula di sini :

Selesai urusan kos dengan Syarikat Darul Mubarak yang menawarkan harga agak menarik dengan kos Rm4850, namun saya tolak kos makanan dengan tujuan untuk makan sendiri tanpa pakej yang diberikan. Justeru menjadikan kos yang perlu aku bayar hanya Rm4400.

KLIA ke Sri Lanka.



Tarikh 30 Februari menjadi titik tolak permusafiran ini, bermula dengan salah faham waktu perjalanan dan kelewatan aku ke Airport telah menjadikan aku dikenali di kalangan jemaah umrah yang terdiri dari mak cik dan pak cik yang tidak ku kenali. Bayangkan aku dimaklumkan Flight berlepas pada jam 8 malam, walhal sebenarnya flight berlepas jam 4 petang. Mujur aku tiba 5 minit sebelum kaunter check In Bagasi ditutup. Ketua rombongan maklumkan pada aku yang semua jemaah sudah berdoa supaya saya sempat tiba dan tidak terlepas. Kalau terlambat, pastinya aku tidak akan ke tanah suci.

Bermula pada waktu itu, nama Meor sudah mula disebut-sebut oleh jemaah Umrah. Umur aku yang masih muda ini membuatkan makcik mak cik dan pakcik-pakcik tertanya-tanya. Ini kerana Saya pergi seorang diri tanpa keluarga mahupun kenalan di sisi......

Bersambung......

No comments:

Post a Comment