Wednesday, October 30, 2013

Cerpen 7 : Penyesalan Dipujuk Pengalaman


Seawal 7 pagi tadi hujan turun dengan lebatnya. Kes Mahkamah dijadualkan jam 8 pagi. Otakku ligat berlari memikirkan bagaimana mahu pergi. Kalau diredah hujan ini macam-macam boleh jadi. Justeru aku tangguh sebentar menunggu hujan reda kembali.

Ternyata ia tidak memakan masa yang lama, jam 7.40 langit sudah berhenti tangisnya. Aku terus memecut motor Honda biru kepunyaan sahabatku mengikut arah dan laluan yang dituju. Dalam fikiranku cuma satu. Cepatlah tiba destinasiku.

Setelah hampir 40 minit bermain dengan gear dan jiwa, aku tiba ke destinasi iaitu Kompleks Mahkamah Kajang bukan Kompleks Perdana Siswa. Para Pesalah sudah ramai memenuhi ruang di hadapan kaunter pendaftaran. Menanti panggilan dan arahan untuk ke dalam bilik Mahkamah.

Saat itu fikiranku kembali berputar ke satu masa lampau. Iaitu Setahun setengah yang lalu. Saat itu sahabatku menggunakan Motor Modenas Kriss 110 With Electric Starterku untuk ke tempat program di Hulu Langat. Saat memulangkan kembali kepadaku dia menyebut, JPJ menahannya lalu memberi surat Saman yang memerlukan kes selesai hanya di Mahkamah. Pemandu dan Pemilik, dia dan aku, kedua-duanya kena.

Kesalahannya dua iaitu tiada Roadtax dan Insuran. Baru aku teringat, aku terlupa untuk menghidupkannya supaya ada "Roh" semula. Tidak mengapa, mungkin ada hikmahnya. Sudah jadi kesalahanan maka ia memerlukan penyesalan. Saat tibanya hari sebutan kes pada bulan Mei 2011, aku dan Syis pergi Kompleks Mahkamah Kajang seperti mana dijadualkan dalam surat saman. Namun apa yang menghairankan, Mahkamah tersebut sedang dibaikpulih. Tiada tanda-tanda ia sedang digunakan. Aku dan Syis "blur" seribu bahasa. Bukan kami sahaja, tetapi ada beberapa pesalah yang lain. Kami cuba hubungi JPJ dan bertanya pada pihak Polis. Jawapannya sama. Ikut pada surat saman. Maka setelah berjam menunggu, keputusan dan kesimpulan yang dibuat adalah kami pulang ke rumah kediaman. Menganggap surat saman itu sebagai satu igauan bukan kenyataan.

Waktu berjalan begitu pantas dari bulan ke bulan dan masuk tahunan. Tiada satu surat tiba untuk pengesahan atau kesalahan yang dibuat. Fikirku mungkin tiada apa-apa berlaku namun ia terjawab di saat aku cuba hidupkan Roadtax motor. Namaku Blacklist, hatiku terguris. Tak sangka namaku sudah disenarai hitamkan. Kes yang dahulu perlu diselesaikan juga, perlu ambil tarikh baru. Namun 3 bulan perlu menunggu. Aku tenang dahulu. Tarikh baru tidak diambil di situ.

Motor itu masih aku gunakan untuk ke Kuliah namun tidak di luar kawasan yang membahayakan nyawa dan yang berkemungkinan ada polis atau JPJ. Kalau ditahan lagi boleh ditarik motorku kesannya. Kemudian setelah setahun setengah "roh" tidak diberikan pada motor itu, Aku dan Syis mula mengambil tarikh baru yang jatuhnya pada hari Isnin. 21 Oktober 2013.

" semua orang boleh masuk ke dalam bilik sekarang" laung seorang pegawai Mahkamah. Lamunan ku terhenti.

Berebut-rebut pesalah trafik masuk ke Kamar Mahkamah. Sebab nak selesai awal. Hampir 100 orang bilangannya. Ada yang terpaksa duduk di luar bilik kerana tidak muat. Namun ia tidak diuruskan di Mahkamah Majistret tetapi mahkamah Seksyen. Ia dimulakan dengan kes Jenayah berat terlebih dahulu. Menurut staff Mahkamah, hakim itu pertama kali uruskan kes JPJ.

Sekitar jam 9.50. Sebutan dan Perbicaraan kes bermula. Pertama kes seorang Negro yang dituduh memiliki dadah. Setelah dibicarakan, tertuduh dikenakan hukuman Penjara 5 tahun dan 10kali sebatan. Kemudian kes kedua seorang remaja Indonesia didakwa menyamun seorang tauke kedai warga Vietnam di Bangi. Dia dibenarkan diikat jamin Rm10000. Setelah selesai kes itu. Pegawai mahkamah memanggil.

"Meor Farid Asyradi !"

Terkejut aku, dalam ramai-ramai pesalah yang hadir, nama aku yang dipanggil dahulu. Sudahlah aku tiba lewat di Mahkamah. Orang lain yang hadir awal sepatutnya diberi dahulu. Namun mungkin itu rezekiku untuk menjimatkan masa. Macam kes Jenayah pula aku rasa.

Aku tampil di hadapan Hakim, seorang wanita. Berdebar juga jantung ni. Jadi Moderator tak rasa begitu. Pihak Mahkamah membacakan kesalahanku, lalu ditanya mengaku atau tidak. Aku jawab.

"Ya, saya mengaku " dalam hati nak juga cuba kata tak mengaku. 

Lalu ditanya lagi. "ada rayuan?"

"ya saya..saya merayu agar dikurangkan denda seminima yang mungkin, ini kerana saya merupakan pelajar yang masih menuntut di UM, ini juga merupakan kesalahan pertama.........................." ceritaku dengan harapan Hakim terkesan. Namun riak wajahnya tiada sebarang perubahan.

Kesimpulannya. Hakim memberikan denda total 2 kesalahan sebanyak Rm410. Bayar terus di situ. Wang yang baru aku keluarkan di Maybank sebelum bertolak ke situ habis begitu. Sayu. Jumlah itu sudah mampu membawaku Travel ke negara yang baru. Jika Mahu.

Aku pemilik Motor, Syis Pemandu. Kami bersatu untuk denda itu. Cerita habis di situ.

"Penyesalan dipujuk oleh Pengalaman." Bisik hatiku

Pengajarannya. Korang yang tiada roadtax atau Insuran tambahan pula lesen. Jangan terlalu yakin kita sentiasa selamat. Mungkin satu hari nanti kita akan ditahan atau lebih teruk lagi akan berhadapan dengan kemalangan. Justeru, pastikan kita bersih dan selamat dalam urusan seharian  Mohon ambil pengajaran Jangan sampai Kemalangan.


Sekian.
Meor Farid Asyradi Bin Meor Zahidi .
21 Oktober 2013

No comments:

Post a Comment