Thursday, November 28, 2013

Koleksi Cuit-Cuit PRK #1-11



Koleksi Cuit-Cuit PRK sepanjang Fasa PRKUM. 


Cuit-Cuit PRK #1.

- Penyusunan atau Penyusuan ? -


Dalam banyak-banyak point yang boleh diulas dalam perdebatan antara Pengerusi Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa, saya ingin sentuh satu perkara berkaitan student Unity. Pro Mahasiswa Bersedia manakala Penggerak Mahasiswa berkata tidak sehingga membawa isu dan membina persepsi mengatakan Pro Mahasiswa bersama-sama dengan golongan yang membawa agenda Free Sex dan sebagainya. Sangat menyedihkan statement tersebut. Seolah olah hadir tanpa berfikir.

Bagi saya juga agak sukar dan tak mungkin berlakunya penggabungan dua kumpulan utama dalam kampus UM ini walaupun dalam syarat PRK UM sendiri menyebut calon tidak dibenarkan mewakili mana-mana kumpulan. Langgar syarat bermakna syarat penyertaan terbatal bukan ? Namun ia masih sah. Itu sebuah kisah. Ini kerana setiap kumpulan punya agenda sendiri dan cara tersendiri. Mana mungkin mampu bersama dalam satu kapal yang punya dua nakhoda berlayar ke destinasi berbeza.

Namun dalam hal ini ia boleh berlaku ketika mana Keputusan Pilihan Raya diumumkan. Saya sudah nyatakan dan sebut perkara ini sejurus keputusan PRK dikeluarkan pada sesi lepas. Saya mohon calon-calon Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa yang menang untuk buang baju kumpulan@parti dan memakai baju "kemahasiswaan". Maksud saya, kita berkhidmat untuk mahasiswa bukan untuk Parti kita mahupun mendengar arahan jentera. Tapi sayang ia tidak terjadi. Penggerak Mahasiswa yang menyebut mereka "tidak Menang" pula memegang keseluruhan board-board Penting dalam MPP. Bagi saya meletakkan YDP dari "Bebas" yang menang tanpa sebarang Undi cuma menang tanpa bertanding adalah tidak sepatutnya terjadi kerana ada yang lebih layak di kalangan dua kumpulan Parti yang utama. Saya lihat sepanjang sesi MPP yang lepas seolah-olah Syahmi Naim adalah YDP walaupun beliau juga menang tanpa bertanding di Kerusi Fakulti.

Ditambah pula meletakkan calon-calon dari Pro Mahasiswa yang menang kerusi UMUM mahupun fakulti dalam board MPP bawahan sehinggakan Bukhairy Sofean yang menang undi Umum tertinggi hanya diletakkan sebagai ahli kepada Biro Exco kebudayaan. Apakah ini ? kalau dalam kabinet pon kalian tidak mampu untuk membuat "Student Unity" inikan pula mahu melakukan perkara yang lebih besar. Kesannya kita lihat sahaja MPP yang lepas bagi saya mereka seolah-olah "tiada". Saya tidak tahu mengapa. Dua-dua sama walaupun dua-dua pihak mengatakan mereka buat kerja. Terima kasih atas usaha anda. Semuanya berpunca dari mula akibat tidak tahu dan mahu mengagihkan kuasa kepada yang sepatutnya gara-gara ikut perancangan jentera. Kalau dah seri buat cara seri barulah berseri seri MPP. 

Yang lepas itu lepaslah, bersama muhasabah dan munasabah. Kali ini kita buka buku baru. All the Best buat semua yang bertanding samaada dipilih atau dipaksa, samaada memang berkebolehan atau hanya sekadar nak cukupkan kerusi yang disediakan. Sekiranya diizinkan Pro Mahasiswa atau Penggerak Mahasiswa menang kali ini mohon agihkan jawatan dalam kabinet MPP dengan baik dan adil. Kerana anda membawa nama MPP bukan jentera dan kumpulan anda. Mahu bergerak kerja untuk mahasiswa keseluruhannnya bukan "menyusu" anak sendiri semata-mata. Jangan cemari undi mahasiswa yang telah berikan kepada calon yang mereka pilih dengan sifat tamaknya kuasa.

*mohon pihak berkenaan meletakkan Syarat perlantikan Jawatan tertinggi MPP seperti YDP, NYDP, Bendahari dan Setiausaha adalah di kalangan Calon Umum yang menang bukan sembarangan.



Cuit-Cuit PRK #2

- Target Dimagnet -

Melalui pemerhatian Penulis. Penggerak Mahasiswa dilihat mempunyai kekuatan dan Pengaruh di kebanyakan Kolej di UM manakala Pro Mahasiswa dilihat mempunyai pengaruh dan kekuatan di luar Kampus. Kalau nak sebut Pro Mahasiswa menguasai persatuan-persatuan yang ada di UM, cuba listkan dahulu berapa banyak persatuan daripada berpuluh persatuan yang berdaftar di UM dikuasai oleh Pro Mahasiswa dan berapa pula yang dikuasai oleh Penggerak Mahasiswa. Kalau nak berhujah YDP yang mengepalai sesebuah persatuan adalah dari kalangan budak Pro M atau Gerak sekaligus menyatakan ia dikuasai oleh team yang disokong oleh YDP, secara jelas adalah tidak valid.

Sekarang yang menjadi target dan perlu dimagnet pengaruh adalah di Fakulti kerana ia melibatkan seluruh mahasiswa yang tinggal di Kolej dan di Luar Kampus, yang berpersatuan dan malas berpersatuan. Sekiranya MPP di setiap fakulti buat kerja, diketahui orangnya dan boleh diharapkan. Maka ia adalah satu kredit untuk MPP tersebut tidak kira kamu dari blok pemikiran mana, tapi jika MPP tak buat kerja, manifesto pon entah ke mana, maka MPP anda adalah sekadar mimpi ngeri.



Cuit-Cuit PRK #3

-Persepsi Dibenam Solusi-

Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam membersihkan contengan Vandalisme. Kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menconteng, mohon jangan jadi zolim, susah juga nak hilangkan kotoron degil itu.

Kepada pihak yang menuduh, sudah-sudahlah. Kita anggap itu kerja orang gila. Kita datang merawat bukan sekadar melawat kata oh ni mesti diorang buat..



cuit-Cuit PRK #4

- Calon Bukan Balloon -

Balloon ini sifatnya boleh mengembang dan melakukan Perubahan namun jika ditekan melebihi had ia akan menghasilkan letupan. Begitu juga dengan calon, Pemilihan calon amat penting walaupun dia bukanlah siapa-siapa pada awalnya. Namun beza dan uniknya dia boleh dibentuk dan melakukan perubahan yang besar. Dari Zero kepada Hero.

Dalam PRK sejujurnya ramai mahasiswa yang akan melihat kepada Siapa calon yang bertanding, terutamanya golongan neutral. Fasa persiapkan calon amat penting bagi kedua-dua pihak untuk menyediakan calon yang terbaik. Pelbagai cara untuk menampilkan calon anda. Ada yang disuruh menjadi moderator mana-mana forum, bagi talk, menjadi ketua mana-mana Projek, melalui poster atau video dan sebagainya. Antara Tujuannya adalah supaya dikenali.

Seperti Pro Mahasiswa, mereka saban tahun menggunakan Kempen DUTA mereka untuk menampilkan calon-calon mereka walaupun bukan semua duta itu Calon. Pada tahun ini saya lihat Penggerak Mahasiswa pula menggunakan Kempen IKON untuk menampilkan calon-calon Mereka namun bukan semua IKON yang ditonjol adalah calon. Kenapa tidak sebut mereka adalah calon. Ini adalah kerana ia tidak dibenarkan. Sekiranya Pro Mahasiswa atau Penggerak Mahasiswa sebut mereka adalah Calon, maka penyertaan calon tersebut boleh terbatal kerana melanggar syarat PRK. Penamaan pon belum kan.

Cuma yang menjadi persoalan, adakah Calon-calon yang dipilih mampu membawa impian utama mahasiswa iaitu membawa suara Mahasiswa dan melaksanakannya tanpa memilih kamu di pihak mana.? Calon itu perlu beri keyakinan kepada mahasiswa yang kamu mampu. Kalau mahu memberi pidato pon takut, mesej tak sampai. Buat kertas kerja tak tahu, tanya fakulti FSKTM di mana pon tak tahu, tak tahu buat kerja, idea kosong, cepat merajuk, melatah dan sebagainya. Bagaimana kita mampu menarik orang. Bukan hanya sekadar gambar gah di Poster, tetapi kalau softskill utama kita tiada maka itu akan menjadi salah satu punca kekalahan kita. 

Namun perlu ingat, pembentukan insan itu perlukan kesabaran dan jangan gelojoh. Kalau rasa anda sudah hebat tidak mengapa, kerana ada calon lain yang perlukan tunjuk ajar dalam team anda. Kalau terlalu ditekan dipaksa menjadi Power takut-takut calon yang dipilih itu akan "meletop" pom ! 

*calon Jenazah juga perlu persiapkan diri untuk Pilihan Syurga Neraka.



Cuit-Cuit PRK #5

-Kempen Sebagai Seorang Pengamen-

Fasa kempen amat penting dalam alam demokrasi. Kumpulan yang bertanding akan buat pelbagai perkara untuk menarik undi Mahasiswa. (Kalau dalam fasa kempen PRU, yang berjawatan iKan jerung pon boleh berubah jadi ikan bilis). Dalam dunia globalisasi ini kempen di media sosial menjadi sasaran utama. Lambakan poster-poster menarik dari Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa menjadi ukuran mahasiswa. Saya melihat perubahan yang besar dalam design Poster Penggerak Mahasiswa. Kali ini lebih menarik dan terbaik berbanding PRK yang lalu. Selain itu melalui video. Saya juga tertarik dengan kempen Senyum yang dibuat oleh Penggerak Mahasiswa, sangan terkesan. Begitu juga dengan video klip Lagu Undi Pro Mahasiswa terbaru, Itu saya tidak mahu kata apa gara-gara tidak terkata. 

Selain "janji" bulan bintang makhluk bernama Manifesto, antara kempen yang paling dirasai oleh mahasiswa adalah dengan cara pergi kepada sasaran. Berjumpa dan berbual dengan mahasiswa. Berikan hadiah kenang-kenangan walaupun ia kecil tetapi ia sangat bermakna di mata mahasiswa. Dalam hal ini saya melihat Pro Mahasiswa sangat bersemangat untuk turun ke Kolej-kolej dan fakulti berjumpa mahasiswa bertemu mata. Ada mahasiswa yang suka dan sudah pasti ada yang mengata. Kekuatan yang ada pada Pro Mahasiswa adalah dari segi keberanian untuk berhadapan dengan persepsi manusia. Bukan mudah ya, saya pasti debaran tetap ada. Duta dan Ikon perlu down to earth. In Sya Allah kesannya pasti ada. Begitu juga Pengamen Tegar, pada awalnya dia akan menarik pendengar dengan pelbagai cara walau ada yang memandang biasa. Nah akhirnya dia berjaya. 

Jawapan samaada positif atau negatifnya kempen kita adalah pada keputusannya.



Cuit-Cuit PRK #6

- ABANG LONG KAWASAN- 
Antara strategi yang perlu difikirkan oleh Team PRK adalah Port Gerak Kerja atau ayat islamiknya Markaz. Ini adalah sangat penting untuk menguruskan pelbagai perkara seperti tempat berkumpul, urusan poster, banner, barang kempen dan sebagainya. Justeru pemilihan kawasan Urusan perlu strategik dikelolai unit Logistik.

Uniknya di UM, pada PRK yang lepas. Pro Mahasiswa secara spontan telah menjadikan kawasan Gazebo sebagai markaz Mereka. Sangat Unik dan penuh taktik. Manakala Penggerak Mahasiswa Menggunakan kawasan kolej Kolej Mereka untuk urusan banner,Poster dan sebagainya.

Pada PRK kali ini, Penggerak Mahasiswa terlebih dahulu menggunakan kawasan Gazebo untuk bergerak kerja dan Pro Mahasiswa perlu memikirkan kawasan yang lain. Maka secara spontan kawasan Lobi KPS pula dijadikan kawasan talian Pergerakan. Mohon jaga kebersihan dan laluan Orang lain. 

Mahasiswa Yang Ingin Melihat Proses gerak Kerja kedua-dua kumpulan boleh hadir di KPS. Sangat menarik melihat abang Long-kakak Long ini bergerak kerja. 



Cuit-Cuit PRK #7

-Sabotaj Macam Montaj-

Fasa PRK nak kawal ahli kumpulan perlu teliti. Sikap berhati-hati perlu dilazimi. Ini kerana pelbagai perkara boleh terjadi. Di UM terkenal dengan perang saraf dan sabotaj mensabotaj. Teringat pada PRK yang lepas aku menemani sahabat menjaga banner calon di PJ jam 3 pagi, ada orang baling api pada banner menyebabkan 3 banner terbakar serentak. Ketika itu aku sedang tidur di halaman rumah, banner yang terbakar benar-benar disebelahku. Dalam keadaan mamai sawadimai aku cuba kejar budak yang baling api itu. Namu hajat hati nak peluk gunung tapi tangan tak sampai. Hanya bunyi motor berlalu pergi kedengaran.

Dalam isu ini atau dalam semua kes yang berlaku dalam PRK yang selalu dicanang-canang, diungkit-ungkit, diputarbalik juga diputarbelit. Saya lebih mengambil pendekatan tidak menuduh secara melulu atau mengkhinzir buta. Dalam politik pelbagai perkara boleh terjadi. Berkemungkinan ada pihak ketiga yang bergerak secara sendiri untuk melakukan perkara-perkara untuk menghangatkan suasana PRK. A kata B, B kata A. C Tepuk tangan.

Secara jelasnya setiap isu dan kes yang berlaku telah dilaporkan kepada pihak polis dan pihak keselamatan. Namun tiada sebarang bukti yang mengatakan pihak ini yang buat, pihak itu yang buat dan sebagainya. Jika ada bukti sila sertakan, bukan hanya sekadar tulisan pandangan. Persoalan diberikan kepada semua untuk membuat penilaian. Sekadar pesanan, janganlah kita semborono menuduh sesuatu pihak tanpa sebarang bukti yang jelas dan kukuh. Kepada pihak yang suka melaga-laga dan merosakkan suasana PRK, henti-hentikanlah. Walau tiada bukti di dunia namun ada bukti di akhirat kelak.

Boleh jadi Kita kata mereka berlakon sedangkan pihak kita yang menjadi Pengarahnya. Begitulah sebaliknya.

Erti Montaj: Montaj merupakan satu teknik menampal dan melekatkan potongan gambar-gambar tertentu pada suatu permukaan untuk menghasilkan sesuatu tema.




Cuit-Cuit PRK #8

-Cabut Banner@poster Tanpa Lena-

Banner Nama Calon antara yang sangat memberi impak kepada pengundi. Ini kerana banner tersebut digantung benar benar di fakulti tempat calon itu study. Pengundi akan tahu siapa yang bertanding dan akan memilih siapa yang mahu diundi.

Justeru, antara taktik yang paling mudah untuk gagalkan atau mencacatkan kempen sesuatu pihak adalah dengan mencabut dan membuang "magnet" Undi itu. Sayang seribu kali sayang. Sikap yang tidak matang.

Teringat sewaktu pRk lepas, ronda-ronda pusing UM dengan Bukhairy tertangkap budak baru nak up dok leka cabut poster, bila ditanya tidak terkata. Sebarkan risalah yang memburukkan sesuatu pihak juga ada yang tertangkap. Tak tahulah apa habuannya. 

Tolonglah, perkara ini saban tahun berlaku. Bukannya banner Poster itu disiapkan dalam keadaan lena tetapi bersengkang mata. Kawal anak buah kita, mungkin ada yang jenis hati kering ni. Buat tindakan atas keputusan sendiri akan memakan team sendiri. Moga mengerti. Moga ada bukti.



Cuit-Cuit PRK#9

-Cybertrooper Tiada Rupa-

Seperti PRU, Cybertrooper dan keyboard Warrior juga tumbuh umpama cendawan selepas hujan juga di kala musim PRK. Semuanya umpama mimpi yang menyakitkan. Sebarang kata-kata nista juga dusta seringkali didendangkan. Tidak kurang juga yang membuat fake akaun cuba memburukkan imej pihak lawan. Semua ini bukan kebetulan tetapi memang dilakukan untuk mencemarkan. Kita tidak tahu siapa tuan empunya kerana mereka tiada rupa juga takwa.

Seperti di UM, blog-blog yang menfitnah lagi punah terus dijadikan hujah. Umpama mahasiswa diberikan besi bukannya nasi untuk mengisi. Fitnah itu bukan hujah tetapi pemusnah ukhwah. Sebaran risalah yang mengundang salah faham adalah perlu dielakkan. Anda tiada bukti, sekali lagi tiada bukti. Cuma persepsi dan bermain amarah hati. Semoga Mahasiswa tidak mudah terpengaruh dengan golongan sebegini. 

Lihat dengan mata hati, bukan fitnah atau hujah dangkal yang kita jadikan pangkal. Tetapi, realiti visi dan misi keadilan yang cuba ditegakkan. Kepada golongan-golongan berkenaan. Setiap tulisan anda akan menjadi saham dan terus berkekalan. Maka berhati-hati dengan tulisan yang berpaksikan penipuan. 

Whatsnext dan apa yang bakal terjadi seterusnya Itu dalam Pengetahuan-NYA.

Selamat Mengundi semua. Pastikan anda kenal siapa yang ingin anda undi. Bukan undi ikut suka hati.



Cuit-Cuit PRK#10 (episod Separuh Akhir)

-UNDI PRK = PRU ? -

Ada yang mengatakan undi PRK ini menunjukkan siapa kita dalam PRU. Kerajaan atau Pembangkang. Ada benarnya namun saya yakin bukan benar secara TOTAL. Kerana seperti di UM, walau anda adalah penyokong tegar Penggerak Mahasiswa tetapi di peringkat negara anda adalah pendokong Pakatan Rakyat begitulah sebaliknya. Namun peratusan golongan seperti ini adalah kecil. Peratusan golongan Neutral yang bersih dari sebarang pengaruh doktrinisasi mana-mana pihak lebih banyak. Mereka kebal dan tebal Pendiriannya. Saya antara yang sebahagian daripada mereka.

Bagi saya, sifat Neutral itu adakalanya perlu dan adakalanya tidak. Lihat pada keadaan. Kerana sejujurnya sejauh mana keNeutralan kita, di suatu sudut hati yang paling dalam hampir tenggelam kita yakin dengan suatu pihak namun tidak ingin kita nyatakan biar sekadar di mesin Undian.

Sebagai contoh pada PRK yang lepas, jujur bacaan saya Penggerak Mahasiswa mampu menang besar kerana adik-adik Freshie dari tahun satu dan dua lebih mengenali figura-figura Penggerak Mahasiswa dan beberapa faktor lain seperti akses di Kolej dan sebagainya. Namun keputusannya adalah jauh dari sangkaan saya. Undi di peringkat Umum semuanya tertuju kepada calon Pro Mahasiswa. Di peringkat Fakulti Penggerak Mahasiswa lebih banyak menang kerusi. Namun secara zahir di atas kertas, Pro Mahasiswa mendapat undian yang lebih ramai berbanding pihak lawan. 

Persoalannya dari mana datangnya Penyokong Pro Mahasiswa itu ? saya yakin dan percaya mereka adalah dari golongan yang nampak Neutral sambil menilai dalam diam apa yang dibawakan oleh kumpulan yang bertanding. Menegur dengan keperluan penambahbaikan bukan mewujudkan persengketaan.

Justeru, 3 tahun setengah@Semester terakhir berada di UM melihat perilaku dan watak sahabat-sahabat dari Pro Mahasiswa dan penggerak Mahasiswa, Walau adakalanya kita berbeza pendapat dan pandangan. Saya lebih yakin dan percaya untuk berada di sebelah pihak :

PENGGERAK Kepada PRO MAHASISWA. Titik. No More Neutral.

Namun, Untuk PRK kali ini bacaan saya adalah 51-49. 

Selamat Mengundi Semuanya. 1 Undi Satu Kuasa.



Cuit-Cuit PRK #11 (Episod Akhir)

-Suara habis Kemenangan DiRaih-


"bila ko nak habiskan Cuit-Cuit ko, aku dok tunggu" tanya seorang teman.

"tunggu result keluar, aku sambung. Episod Final haha" balas aku ringkas.

Alhamdulillah dan syukur, PRKUM telah selamat berlabuh membawa bahtera kemenangan Penuh. Siapalah yang tidak suka dengan kemenangan dan siapalah yang tidak kecewa dengan kekalahan. Namun kedua-duanya perlu melihat hikmah dan kesan disebalik keputusan.

Kali ketiga dapat turut serta dalam fasa PRK membawa kenangan pahit dan manis. Setiap orang ada ceritanya. Kali pertama saya menjadi Pencadang Bukhairy ketika itu Pro M menang dan memegang tampuk Pimpinan MPP. Kali Kedua menjadi wakil Bukhairy, Ketika itu Pro M menang kerusi tetapi kalah kabinet MPP. Bukhairy dilantik jadi Ajk kepada Biro Kebudayaan walau di peringkat umum Bukhairy mendapat undian tertinggi. Kali ketiga menjadi Penggerak Kepada Pro Mahasiswa bersama-sama dengan sahabat yang sangat bersemangat bergelar "Pejuang tanpa nama". Alhamdulillah menang bergaya.

Menunggu keputusan dengan penuh debaran menjadi satu cabaran. Ia melibatkan perasaan yang akan berhadapan dengan keputusan kekalahan atau kemenangan. Satu persatu keputusan diumumkan membawa kepada kemenangan besar buat Pro Mahasiswa dengan 26 kerusi, manakala Penggerak Mahasiswa dengan 14 kerusi dan Bebas 3 kerusi. Dimaklumkan 1 kerusi Bebas bersama Pro Mahasiswa menjadikan Pro Mahasiswa mendapat 27 Kerusi.

Saya melihat kemenangan ini adalah satu petanda mahasiswa sudah mula cakna dengan politik kampus. Seperti saya sebutkan pada episod Cuit-cuit PRK yang lepas, kemampuan Pro Mahasiswa untuk menarik golongan Neutral ini telah berjaya sekali lagi. Golongan ini tidak muncul bersama Pro Mahasiswa tetapi menunjukkan sokongan melalui undian. Peratusan turun mengundi yang tertinggi sejak 5 tahun kebelakang juga menunjukkan kempen yang dilakukan oleh kedua-dua pihak telah berjaya menarik minat dan semangat mahasiswa untuk turun mengundi bagi menunaikan tanggungjawab. Ternyata peratusan turun mengundi 75.2% untuk undergraduate dan 1.74% postgraduate telah membawa kepada kemenangan berpihak kepada Pro Mahasiswa.

Saya tidak mahu menulis panjang kerana ia akan pergi kepada istilah menang, menang dan menang. Apa yang saya harapkan adalah, pembentukan kabinet MPP yang akan dibuat adalah adil dan saksama. Jangan ketepikan kebolehan pihak lain kerana kalian akan menjadi satu team. Ciptalah sejarah MPP pada sesi kali ini adalah yang terbaik dari segi hubungan dan semangat kesemua MPP yang dipilih oleh Mahasiswa. Tunaikan janji anda. 

Yang menang tahniah, yang kalah juga tahniah kerana pasti ada hikmah. Singkapi ia dengan berhemah. Bukan suara sahaja yang habis, tenaga, wang dan sebagainya yang digunakan untuk fasa PRK ini telah dihadiahkan dengan satu istilah kemenangan lebih besar lagi pengalaman. Jujur saya terharu dengan semangat kedua-dua pihak lebih-lebih lagi melihat dan bersama dengan team Pro Mahasiswa. Melihat mereka bergerak kerja siang malam mampu menitiskan air mata. Kalau dulu aku tidur di Gazebo, kali ni tidak sangka dapat tidur di lobi KPS.  Ia adalah Pengalaman yang tidak dirasai oleh semua mahasiswa .

" Ini Zaman Korang " Hati girang.

*Banyak nak tulis sebenarnya mengenai Keputusan PRK kali ini. Ada calon yang aku jangka menang tapi kalah. Teringin nak buat Analisis PRK UM pula. Cuit-Cuit telah selesai. Maaf salah silap.