Thursday, November 28, 2013

Koleksi Cuit-Cuit PRK #1-11



Koleksi Cuit-Cuit PRK sepanjang Fasa PRKUM. 


Cuit-Cuit PRK #1.

- Penyusunan atau Penyusuan ? -


Dalam banyak-banyak point yang boleh diulas dalam perdebatan antara Pengerusi Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa, saya ingin sentuh satu perkara berkaitan student Unity. Pro Mahasiswa Bersedia manakala Penggerak Mahasiswa berkata tidak sehingga membawa isu dan membina persepsi mengatakan Pro Mahasiswa bersama-sama dengan golongan yang membawa agenda Free Sex dan sebagainya. Sangat menyedihkan statement tersebut. Seolah olah hadir tanpa berfikir.

Bagi saya juga agak sukar dan tak mungkin berlakunya penggabungan dua kumpulan utama dalam kampus UM ini walaupun dalam syarat PRK UM sendiri menyebut calon tidak dibenarkan mewakili mana-mana kumpulan. Langgar syarat bermakna syarat penyertaan terbatal bukan ? Namun ia masih sah. Itu sebuah kisah. Ini kerana setiap kumpulan punya agenda sendiri dan cara tersendiri. Mana mungkin mampu bersama dalam satu kapal yang punya dua nakhoda berlayar ke destinasi berbeza.

Namun dalam hal ini ia boleh berlaku ketika mana Keputusan Pilihan Raya diumumkan. Saya sudah nyatakan dan sebut perkara ini sejurus keputusan PRK dikeluarkan pada sesi lepas. Saya mohon calon-calon Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa yang menang untuk buang baju kumpulan@parti dan memakai baju "kemahasiswaan". Maksud saya, kita berkhidmat untuk mahasiswa bukan untuk Parti kita mahupun mendengar arahan jentera. Tapi sayang ia tidak terjadi. Penggerak Mahasiswa yang menyebut mereka "tidak Menang" pula memegang keseluruhan board-board Penting dalam MPP. Bagi saya meletakkan YDP dari "Bebas" yang menang tanpa sebarang Undi cuma menang tanpa bertanding adalah tidak sepatutnya terjadi kerana ada yang lebih layak di kalangan dua kumpulan Parti yang utama. Saya lihat sepanjang sesi MPP yang lepas seolah-olah Syahmi Naim adalah YDP walaupun beliau juga menang tanpa bertanding di Kerusi Fakulti.

Ditambah pula meletakkan calon-calon dari Pro Mahasiswa yang menang kerusi UMUM mahupun fakulti dalam board MPP bawahan sehinggakan Bukhairy Sofean yang menang undi Umum tertinggi hanya diletakkan sebagai ahli kepada Biro Exco kebudayaan. Apakah ini ? kalau dalam kabinet pon kalian tidak mampu untuk membuat "Student Unity" inikan pula mahu melakukan perkara yang lebih besar. Kesannya kita lihat sahaja MPP yang lepas bagi saya mereka seolah-olah "tiada". Saya tidak tahu mengapa. Dua-dua sama walaupun dua-dua pihak mengatakan mereka buat kerja. Terima kasih atas usaha anda. Semuanya berpunca dari mula akibat tidak tahu dan mahu mengagihkan kuasa kepada yang sepatutnya gara-gara ikut perancangan jentera. Kalau dah seri buat cara seri barulah berseri seri MPP. 

Yang lepas itu lepaslah, bersama muhasabah dan munasabah. Kali ini kita buka buku baru. All the Best buat semua yang bertanding samaada dipilih atau dipaksa, samaada memang berkebolehan atau hanya sekadar nak cukupkan kerusi yang disediakan. Sekiranya diizinkan Pro Mahasiswa atau Penggerak Mahasiswa menang kali ini mohon agihkan jawatan dalam kabinet MPP dengan baik dan adil. Kerana anda membawa nama MPP bukan jentera dan kumpulan anda. Mahu bergerak kerja untuk mahasiswa keseluruhannnya bukan "menyusu" anak sendiri semata-mata. Jangan cemari undi mahasiswa yang telah berikan kepada calon yang mereka pilih dengan sifat tamaknya kuasa.

*mohon pihak berkenaan meletakkan Syarat perlantikan Jawatan tertinggi MPP seperti YDP, NYDP, Bendahari dan Setiausaha adalah di kalangan Calon Umum yang menang bukan sembarangan.



Cuit-Cuit PRK #2

- Target Dimagnet -

Melalui pemerhatian Penulis. Penggerak Mahasiswa dilihat mempunyai kekuatan dan Pengaruh di kebanyakan Kolej di UM manakala Pro Mahasiswa dilihat mempunyai pengaruh dan kekuatan di luar Kampus. Kalau nak sebut Pro Mahasiswa menguasai persatuan-persatuan yang ada di UM, cuba listkan dahulu berapa banyak persatuan daripada berpuluh persatuan yang berdaftar di UM dikuasai oleh Pro Mahasiswa dan berapa pula yang dikuasai oleh Penggerak Mahasiswa. Kalau nak berhujah YDP yang mengepalai sesebuah persatuan adalah dari kalangan budak Pro M atau Gerak sekaligus menyatakan ia dikuasai oleh team yang disokong oleh YDP, secara jelas adalah tidak valid.

Sekarang yang menjadi target dan perlu dimagnet pengaruh adalah di Fakulti kerana ia melibatkan seluruh mahasiswa yang tinggal di Kolej dan di Luar Kampus, yang berpersatuan dan malas berpersatuan. Sekiranya MPP di setiap fakulti buat kerja, diketahui orangnya dan boleh diharapkan. Maka ia adalah satu kredit untuk MPP tersebut tidak kira kamu dari blok pemikiran mana, tapi jika MPP tak buat kerja, manifesto pon entah ke mana, maka MPP anda adalah sekadar mimpi ngeri.



Cuit-Cuit PRK #3

-Persepsi Dibenam Solusi-

Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam membersihkan contengan Vandalisme. Kepada pihak yang tidak bertanggungjawab menconteng, mohon jangan jadi zolim, susah juga nak hilangkan kotoron degil itu.

Kepada pihak yang menuduh, sudah-sudahlah. Kita anggap itu kerja orang gila. Kita datang merawat bukan sekadar melawat kata oh ni mesti diorang buat..



cuit-Cuit PRK #4

- Calon Bukan Balloon -

Balloon ini sifatnya boleh mengembang dan melakukan Perubahan namun jika ditekan melebihi had ia akan menghasilkan letupan. Begitu juga dengan calon, Pemilihan calon amat penting walaupun dia bukanlah siapa-siapa pada awalnya. Namun beza dan uniknya dia boleh dibentuk dan melakukan perubahan yang besar. Dari Zero kepada Hero.

Dalam PRK sejujurnya ramai mahasiswa yang akan melihat kepada Siapa calon yang bertanding, terutamanya golongan neutral. Fasa persiapkan calon amat penting bagi kedua-dua pihak untuk menyediakan calon yang terbaik. Pelbagai cara untuk menampilkan calon anda. Ada yang disuruh menjadi moderator mana-mana forum, bagi talk, menjadi ketua mana-mana Projek, melalui poster atau video dan sebagainya. Antara Tujuannya adalah supaya dikenali.

Seperti Pro Mahasiswa, mereka saban tahun menggunakan Kempen DUTA mereka untuk menampilkan calon-calon mereka walaupun bukan semua duta itu Calon. Pada tahun ini saya lihat Penggerak Mahasiswa pula menggunakan Kempen IKON untuk menampilkan calon-calon Mereka namun bukan semua IKON yang ditonjol adalah calon. Kenapa tidak sebut mereka adalah calon. Ini adalah kerana ia tidak dibenarkan. Sekiranya Pro Mahasiswa atau Penggerak Mahasiswa sebut mereka adalah Calon, maka penyertaan calon tersebut boleh terbatal kerana melanggar syarat PRK. Penamaan pon belum kan.

Cuma yang menjadi persoalan, adakah Calon-calon yang dipilih mampu membawa impian utama mahasiswa iaitu membawa suara Mahasiswa dan melaksanakannya tanpa memilih kamu di pihak mana.? Calon itu perlu beri keyakinan kepada mahasiswa yang kamu mampu. Kalau mahu memberi pidato pon takut, mesej tak sampai. Buat kertas kerja tak tahu, tanya fakulti FSKTM di mana pon tak tahu, tak tahu buat kerja, idea kosong, cepat merajuk, melatah dan sebagainya. Bagaimana kita mampu menarik orang. Bukan hanya sekadar gambar gah di Poster, tetapi kalau softskill utama kita tiada maka itu akan menjadi salah satu punca kekalahan kita. 

Namun perlu ingat, pembentukan insan itu perlukan kesabaran dan jangan gelojoh. Kalau rasa anda sudah hebat tidak mengapa, kerana ada calon lain yang perlukan tunjuk ajar dalam team anda. Kalau terlalu ditekan dipaksa menjadi Power takut-takut calon yang dipilih itu akan "meletop" pom ! 

*calon Jenazah juga perlu persiapkan diri untuk Pilihan Syurga Neraka.



Cuit-Cuit PRK #5

-Kempen Sebagai Seorang Pengamen-

Fasa kempen amat penting dalam alam demokrasi. Kumpulan yang bertanding akan buat pelbagai perkara untuk menarik undi Mahasiswa. (Kalau dalam fasa kempen PRU, yang berjawatan iKan jerung pon boleh berubah jadi ikan bilis). Dalam dunia globalisasi ini kempen di media sosial menjadi sasaran utama. Lambakan poster-poster menarik dari Penggerak Mahasiswa dan Pro Mahasiswa menjadi ukuran mahasiswa. Saya melihat perubahan yang besar dalam design Poster Penggerak Mahasiswa. Kali ini lebih menarik dan terbaik berbanding PRK yang lalu. Selain itu melalui video. Saya juga tertarik dengan kempen Senyum yang dibuat oleh Penggerak Mahasiswa, sangan terkesan. Begitu juga dengan video klip Lagu Undi Pro Mahasiswa terbaru, Itu saya tidak mahu kata apa gara-gara tidak terkata. 

Selain "janji" bulan bintang makhluk bernama Manifesto, antara kempen yang paling dirasai oleh mahasiswa adalah dengan cara pergi kepada sasaran. Berjumpa dan berbual dengan mahasiswa. Berikan hadiah kenang-kenangan walaupun ia kecil tetapi ia sangat bermakna di mata mahasiswa. Dalam hal ini saya melihat Pro Mahasiswa sangat bersemangat untuk turun ke Kolej-kolej dan fakulti berjumpa mahasiswa bertemu mata. Ada mahasiswa yang suka dan sudah pasti ada yang mengata. Kekuatan yang ada pada Pro Mahasiswa adalah dari segi keberanian untuk berhadapan dengan persepsi manusia. Bukan mudah ya, saya pasti debaran tetap ada. Duta dan Ikon perlu down to earth. In Sya Allah kesannya pasti ada. Begitu juga Pengamen Tegar, pada awalnya dia akan menarik pendengar dengan pelbagai cara walau ada yang memandang biasa. Nah akhirnya dia berjaya. 

Jawapan samaada positif atau negatifnya kempen kita adalah pada keputusannya.



Cuit-Cuit PRK #6

- ABANG LONG KAWASAN- 
Antara strategi yang perlu difikirkan oleh Team PRK adalah Port Gerak Kerja atau ayat islamiknya Markaz. Ini adalah sangat penting untuk menguruskan pelbagai perkara seperti tempat berkumpul, urusan poster, banner, barang kempen dan sebagainya. Justeru pemilihan kawasan Urusan perlu strategik dikelolai unit Logistik.

Uniknya di UM, pada PRK yang lepas. Pro Mahasiswa secara spontan telah menjadikan kawasan Gazebo sebagai markaz Mereka. Sangat Unik dan penuh taktik. Manakala Penggerak Mahasiswa Menggunakan kawasan kolej Kolej Mereka untuk urusan banner,Poster dan sebagainya.

Pada PRK kali ini, Penggerak Mahasiswa terlebih dahulu menggunakan kawasan Gazebo untuk bergerak kerja dan Pro Mahasiswa perlu memikirkan kawasan yang lain. Maka secara spontan kawasan Lobi KPS pula dijadikan kawasan talian Pergerakan. Mohon jaga kebersihan dan laluan Orang lain. 

Mahasiswa Yang Ingin Melihat Proses gerak Kerja kedua-dua kumpulan boleh hadir di KPS. Sangat menarik melihat abang Long-kakak Long ini bergerak kerja. 



Cuit-Cuit PRK #7

-Sabotaj Macam Montaj-

Fasa PRK nak kawal ahli kumpulan perlu teliti. Sikap berhati-hati perlu dilazimi. Ini kerana pelbagai perkara boleh terjadi. Di UM terkenal dengan perang saraf dan sabotaj mensabotaj. Teringat pada PRK yang lepas aku menemani sahabat menjaga banner calon di PJ jam 3 pagi, ada orang baling api pada banner menyebabkan 3 banner terbakar serentak. Ketika itu aku sedang tidur di halaman rumah, banner yang terbakar benar-benar disebelahku. Dalam keadaan mamai sawadimai aku cuba kejar budak yang baling api itu. Namu hajat hati nak peluk gunung tapi tangan tak sampai. Hanya bunyi motor berlalu pergi kedengaran.

Dalam isu ini atau dalam semua kes yang berlaku dalam PRK yang selalu dicanang-canang, diungkit-ungkit, diputarbalik juga diputarbelit. Saya lebih mengambil pendekatan tidak menuduh secara melulu atau mengkhinzir buta. Dalam politik pelbagai perkara boleh terjadi. Berkemungkinan ada pihak ketiga yang bergerak secara sendiri untuk melakukan perkara-perkara untuk menghangatkan suasana PRK. A kata B, B kata A. C Tepuk tangan.

Secara jelasnya setiap isu dan kes yang berlaku telah dilaporkan kepada pihak polis dan pihak keselamatan. Namun tiada sebarang bukti yang mengatakan pihak ini yang buat, pihak itu yang buat dan sebagainya. Jika ada bukti sila sertakan, bukan hanya sekadar tulisan pandangan. Persoalan diberikan kepada semua untuk membuat penilaian. Sekadar pesanan, janganlah kita semborono menuduh sesuatu pihak tanpa sebarang bukti yang jelas dan kukuh. Kepada pihak yang suka melaga-laga dan merosakkan suasana PRK, henti-hentikanlah. Walau tiada bukti di dunia namun ada bukti di akhirat kelak.

Boleh jadi Kita kata mereka berlakon sedangkan pihak kita yang menjadi Pengarahnya. Begitulah sebaliknya.

Erti Montaj: Montaj merupakan satu teknik menampal dan melekatkan potongan gambar-gambar tertentu pada suatu permukaan untuk menghasilkan sesuatu tema.




Cuit-Cuit PRK #8

-Cabut Banner@poster Tanpa Lena-

Banner Nama Calon antara yang sangat memberi impak kepada pengundi. Ini kerana banner tersebut digantung benar benar di fakulti tempat calon itu study. Pengundi akan tahu siapa yang bertanding dan akan memilih siapa yang mahu diundi.

Justeru, antara taktik yang paling mudah untuk gagalkan atau mencacatkan kempen sesuatu pihak adalah dengan mencabut dan membuang "magnet" Undi itu. Sayang seribu kali sayang. Sikap yang tidak matang.

Teringat sewaktu pRk lepas, ronda-ronda pusing UM dengan Bukhairy tertangkap budak baru nak up dok leka cabut poster, bila ditanya tidak terkata. Sebarkan risalah yang memburukkan sesuatu pihak juga ada yang tertangkap. Tak tahulah apa habuannya. 

Tolonglah, perkara ini saban tahun berlaku. Bukannya banner Poster itu disiapkan dalam keadaan lena tetapi bersengkang mata. Kawal anak buah kita, mungkin ada yang jenis hati kering ni. Buat tindakan atas keputusan sendiri akan memakan team sendiri. Moga mengerti. Moga ada bukti.



Cuit-Cuit PRK#9

-Cybertrooper Tiada Rupa-

Seperti PRU, Cybertrooper dan keyboard Warrior juga tumbuh umpama cendawan selepas hujan juga di kala musim PRK. Semuanya umpama mimpi yang menyakitkan. Sebarang kata-kata nista juga dusta seringkali didendangkan. Tidak kurang juga yang membuat fake akaun cuba memburukkan imej pihak lawan. Semua ini bukan kebetulan tetapi memang dilakukan untuk mencemarkan. Kita tidak tahu siapa tuan empunya kerana mereka tiada rupa juga takwa.

Seperti di UM, blog-blog yang menfitnah lagi punah terus dijadikan hujah. Umpama mahasiswa diberikan besi bukannya nasi untuk mengisi. Fitnah itu bukan hujah tetapi pemusnah ukhwah. Sebaran risalah yang mengundang salah faham adalah perlu dielakkan. Anda tiada bukti, sekali lagi tiada bukti. Cuma persepsi dan bermain amarah hati. Semoga Mahasiswa tidak mudah terpengaruh dengan golongan sebegini. 

Lihat dengan mata hati, bukan fitnah atau hujah dangkal yang kita jadikan pangkal. Tetapi, realiti visi dan misi keadilan yang cuba ditegakkan. Kepada golongan-golongan berkenaan. Setiap tulisan anda akan menjadi saham dan terus berkekalan. Maka berhati-hati dengan tulisan yang berpaksikan penipuan. 

Whatsnext dan apa yang bakal terjadi seterusnya Itu dalam Pengetahuan-NYA.

Selamat Mengundi semua. Pastikan anda kenal siapa yang ingin anda undi. Bukan undi ikut suka hati.



Cuit-Cuit PRK#10 (episod Separuh Akhir)

-UNDI PRK = PRU ? -

Ada yang mengatakan undi PRK ini menunjukkan siapa kita dalam PRU. Kerajaan atau Pembangkang. Ada benarnya namun saya yakin bukan benar secara TOTAL. Kerana seperti di UM, walau anda adalah penyokong tegar Penggerak Mahasiswa tetapi di peringkat negara anda adalah pendokong Pakatan Rakyat begitulah sebaliknya. Namun peratusan golongan seperti ini adalah kecil. Peratusan golongan Neutral yang bersih dari sebarang pengaruh doktrinisasi mana-mana pihak lebih banyak. Mereka kebal dan tebal Pendiriannya. Saya antara yang sebahagian daripada mereka.

Bagi saya, sifat Neutral itu adakalanya perlu dan adakalanya tidak. Lihat pada keadaan. Kerana sejujurnya sejauh mana keNeutralan kita, di suatu sudut hati yang paling dalam hampir tenggelam kita yakin dengan suatu pihak namun tidak ingin kita nyatakan biar sekadar di mesin Undian.

Sebagai contoh pada PRK yang lepas, jujur bacaan saya Penggerak Mahasiswa mampu menang besar kerana adik-adik Freshie dari tahun satu dan dua lebih mengenali figura-figura Penggerak Mahasiswa dan beberapa faktor lain seperti akses di Kolej dan sebagainya. Namun keputusannya adalah jauh dari sangkaan saya. Undi di peringkat Umum semuanya tertuju kepada calon Pro Mahasiswa. Di peringkat Fakulti Penggerak Mahasiswa lebih banyak menang kerusi. Namun secara zahir di atas kertas, Pro Mahasiswa mendapat undian yang lebih ramai berbanding pihak lawan. 

Persoalannya dari mana datangnya Penyokong Pro Mahasiswa itu ? saya yakin dan percaya mereka adalah dari golongan yang nampak Neutral sambil menilai dalam diam apa yang dibawakan oleh kumpulan yang bertanding. Menegur dengan keperluan penambahbaikan bukan mewujudkan persengketaan.

Justeru, 3 tahun setengah@Semester terakhir berada di UM melihat perilaku dan watak sahabat-sahabat dari Pro Mahasiswa dan penggerak Mahasiswa, Walau adakalanya kita berbeza pendapat dan pandangan. Saya lebih yakin dan percaya untuk berada di sebelah pihak :

PENGGERAK Kepada PRO MAHASISWA. Titik. No More Neutral.

Namun, Untuk PRK kali ini bacaan saya adalah 51-49. 

Selamat Mengundi Semuanya. 1 Undi Satu Kuasa.



Cuit-Cuit PRK #11 (Episod Akhir)

-Suara habis Kemenangan DiRaih-


"bila ko nak habiskan Cuit-Cuit ko, aku dok tunggu" tanya seorang teman.

"tunggu result keluar, aku sambung. Episod Final haha" balas aku ringkas.

Alhamdulillah dan syukur, PRKUM telah selamat berlabuh membawa bahtera kemenangan Penuh. Siapalah yang tidak suka dengan kemenangan dan siapalah yang tidak kecewa dengan kekalahan. Namun kedua-duanya perlu melihat hikmah dan kesan disebalik keputusan.

Kali ketiga dapat turut serta dalam fasa PRK membawa kenangan pahit dan manis. Setiap orang ada ceritanya. Kali pertama saya menjadi Pencadang Bukhairy ketika itu Pro M menang dan memegang tampuk Pimpinan MPP. Kali Kedua menjadi wakil Bukhairy, Ketika itu Pro M menang kerusi tetapi kalah kabinet MPP. Bukhairy dilantik jadi Ajk kepada Biro Kebudayaan walau di peringkat umum Bukhairy mendapat undian tertinggi. Kali ketiga menjadi Penggerak Kepada Pro Mahasiswa bersama-sama dengan sahabat yang sangat bersemangat bergelar "Pejuang tanpa nama". Alhamdulillah menang bergaya.

Menunggu keputusan dengan penuh debaran menjadi satu cabaran. Ia melibatkan perasaan yang akan berhadapan dengan keputusan kekalahan atau kemenangan. Satu persatu keputusan diumumkan membawa kepada kemenangan besar buat Pro Mahasiswa dengan 26 kerusi, manakala Penggerak Mahasiswa dengan 14 kerusi dan Bebas 3 kerusi. Dimaklumkan 1 kerusi Bebas bersama Pro Mahasiswa menjadikan Pro Mahasiswa mendapat 27 Kerusi.

Saya melihat kemenangan ini adalah satu petanda mahasiswa sudah mula cakna dengan politik kampus. Seperti saya sebutkan pada episod Cuit-cuit PRK yang lepas, kemampuan Pro Mahasiswa untuk menarik golongan Neutral ini telah berjaya sekali lagi. Golongan ini tidak muncul bersama Pro Mahasiswa tetapi menunjukkan sokongan melalui undian. Peratusan turun mengundi yang tertinggi sejak 5 tahun kebelakang juga menunjukkan kempen yang dilakukan oleh kedua-dua pihak telah berjaya menarik minat dan semangat mahasiswa untuk turun mengundi bagi menunaikan tanggungjawab. Ternyata peratusan turun mengundi 75.2% untuk undergraduate dan 1.74% postgraduate telah membawa kepada kemenangan berpihak kepada Pro Mahasiswa.

Saya tidak mahu menulis panjang kerana ia akan pergi kepada istilah menang, menang dan menang. Apa yang saya harapkan adalah, pembentukan kabinet MPP yang akan dibuat adalah adil dan saksama. Jangan ketepikan kebolehan pihak lain kerana kalian akan menjadi satu team. Ciptalah sejarah MPP pada sesi kali ini adalah yang terbaik dari segi hubungan dan semangat kesemua MPP yang dipilih oleh Mahasiswa. Tunaikan janji anda. 

Yang menang tahniah, yang kalah juga tahniah kerana pasti ada hikmah. Singkapi ia dengan berhemah. Bukan suara sahaja yang habis, tenaga, wang dan sebagainya yang digunakan untuk fasa PRK ini telah dihadiahkan dengan satu istilah kemenangan lebih besar lagi pengalaman. Jujur saya terharu dengan semangat kedua-dua pihak lebih-lebih lagi melihat dan bersama dengan team Pro Mahasiswa. Melihat mereka bergerak kerja siang malam mampu menitiskan air mata. Kalau dulu aku tidur di Gazebo, kali ni tidak sangka dapat tidur di lobi KPS.  Ia adalah Pengalaman yang tidak dirasai oleh semua mahasiswa .

" Ini Zaman Korang " Hati girang.

*Banyak nak tulis sebenarnya mengenai Keputusan PRK kali ini. Ada calon yang aku jangka menang tapi kalah. Teringin nak buat Analisis PRK UM pula. Cuit-Cuit telah selesai. Maaf salah silap.

Wednesday, October 30, 2013

Cerpen 8 : Mesir Berdarah


Mesir Berdarah!!!!!

"Salamu Alaik, Keif Hal," seorang arab Mesir menyapaku saat aku melalui satu lorong menuju ke banggunan Abbasiyyah atau Malaysian Hall. Kebiasaannya orang arab Mesir ramah menyapa seseorang yang datang daripada negara luar. " Waalaikumussalam. Alhamdulillah, khoir ya said, wa anta Keif hal?" aku membalas pendek. " Alhamdulillah..tamam." lelaki arab berumur sekitar 40an itu menjawab ringkas.

Kakiku terus melangkah menuju ke bilik yang terletak di banggunan Malaysian Hall Abbasiah. Sebuah masjid berdiri teguh di belakang banggunan yang menempatkan para pelajar malaysia yang menuntut di Universiti-universiti yang terletak di Kaherah seperti Universiti Ain Syam, Universiti Azhar cawangan Mesir dan sebagainya.

Pintu bilik dikuak, " Farhan, jomla jalan-jalan, aku tak naik bot kat Sungai Nil lagi ". Aku mengajak Farhan untuk keluar menikmati keindahan dan kehebatan Mesir. "okey, kejap-kejap. Aku siap dulu." Farhan bersetuju.

Kaki kami menyusun langkah, dengan info yang ringkas daripada Umar yang merupakan ketua rombongan pelajar Universiti Malaya ke Mesir untuk program bahasa arab memberi sedikit maklumat cara kami sampai ke Sungai Nil.

-naik bas dari Abbasiyyah Ke Attabah. kemudian naik Metro turun di Sadat dan jalan kaki ke sungai Nil-

Mesej ringkas ini menjadi tanda arah buat kami untuk tiba di sana. Walaupun mesejnya pendek dan agak jelas tetapi dikhuwatiri juga tersesat. Mesir bukan seperti Malaysia. Rakyat di seluruh Malaysia hanya 27 Juta tetapi di kota Kaherah sahaja mempunyai lebih 20 juta penduduk. Sikap peka dan berhati-hati perlu dititikberatkan.

Langkah terus diatur ke Mahattaf Abbasiyyah iaitu stesen bas Abbasiyyah. Deretan demi deretan kenderaan melepasi pemandangan kami, telinga kami juga sudah lali dengan bunyi hon yang dipergunakan kadangakala sebagai penegur sapa. Kelihatan bas merah yang menuju ke Attabah bergerak menuju ke tempat kami berdiri. Hanya seketika, kami terus menaiki bas tersebut. Bayaran satu genih( 60 sen ) dilunaskan. Kadar tambang tersebut sama sahaja kepada semua penumpang walaupun destinasinya berbeza. Dari tingkap bas yang agak  berdebu, kelihatan masyarakat mesir sibuk menguruskan urusan harian masing-masing, ada yang sibuk menguruskan perniagaan, pemandu teksi sibuk mencari penumpangnya, para  peniaga jalanan bising mempromosikan barang jualannya, peminta sedekah pula duduk tabah di laluan umum menagih simpati orang awam dan pelbagai urusan lagi. Perjalanan yang sebenarnya hanya memakan tempoh sekitar 15 minit menjadi lebih 30 minit akibat jalan yang sesak. Kebiasaannya jalan di kota-kota Mesir ini sememangnya terkenal dengan kesesakannya.

Attabah merupakan kawasan membeli belah yang terkenal di Kaherah, terletak berhampiran dengan Hussein yang menempatkan Masjid Hussein dan Masjid Al Azhar yang bersejarah. Kawasan tersebut memang sangat sibuk dan menjadi pusat tumpuan masyarakat arab untuk mencari rezeki terutamanya di pasar Hussein dan Khankalili. Langkah terus dituju memasuki stesen Metro atau LRT bawah tanah, bayaran satu genih dilunaskan lagi, kadarnya sama sahaja ke semua destinasi. Kereta api seakan-akan LRT di Malaysia itu mempunyai 8 gerabak dan diasingkan gerabak perempuan dan lelaki. Kelajuannya sangat membimbangkan kami, kebiasaannya kami hanya berdiri berasak-asak dengan masyarakat arab dalam perut pengangkutan tersebut untuk menuju ke stesen Cairo University. Namun perjalanan kali ini bukan ke stesen tersebut, tetapi ke Stesen Sadat. Lebih dekat hanya melepasi stesen M. Naguib sahaja. Langkah pantas terus digerakkan. Stesen Sadat itu agak berbeza dengan stesen Metro di Attabah. Mempunyai dua tingkat landasan Kereta api. Satunya di bawah tanah. Anak tangga menuju ke kota sadat dinaiki. Udara sejuk yang tajam mula dirasai, cahaya menterai menyinari. Kota sadat itu juga tetap sibuk. Para peniaga membarisi laluan pejalan kaki yang terletak bersebelahan dengan flat dan banggunan-banggunan yang berdiri megah di kota itu. Maklumat yang diberikan sudah ditepati. Kota Sadat sudah dipijaki. Masalah untuk ke sungai Nil pula menjadi cabaran kami.

"AsSalamu alaik ya Said. lau samah, kaifa nazhab ila Nahrun Nil?" aku bertanyakan kedudukan sungai Nil kepada seorang arab yang berdiri berhampiran dengan gerai menjual pakaian-pakaian musim sejuk.

"waalailumussalam. o..imsyi alat tul, wa baqdin ila yamin." arab mesir itu memberi maklumat ringkas. Jalan terus kemudian belok kanan.

Arah yang diberikan kutepati. Farhan hanya mengekori. Kawasan sadat itu berhampiran dengan Kota Tahrir atau Tahrir square, sangat luas pemandangannya. Kelihatan Muzium Mesir bewarna merah megah berdiri. Niat mahu ke sana ditutupi kerana hari sudah menghampiri maghrib risau tidak sempat menaiki bot di Sungai Nil. Tentera keamanan kelihatan berdiri di suatu sudut jalan. Satu perkara yang biasa dilihat di Mesir. Seperti di Masjid Al Azhar dan Hussein , deretan trak pasukan ( Markaz Aman) atau ketenteraan berada di kawasan tersebut. Langkah kami terus diatur melepasi sebuah banggunan berdiri megah. "Mujamma" sebuah komplek pejabat kerajaan yang terletak di Tahrir Square, binaan banggunan tersebut kelihatan agak melengkung. Unik. Di sebelahnya berdiri megah sebuah menara masjid Tahrir.

Dari situ kami dapat melihat menara kemegahan Cairo. Berbentuk silinder. Menara tersebut boleh dilihat lebih jelas daripada tebing Sungai Nil. Sebuah Jambatan Tahrir Square membentangi sungai bersejarah tersebut. Bot-bot persiaran bertebaran di atas Sungai  itu. Keindahan dari atas bot yang telah dibayar sebanyak 4 genih atau Rm2 kami nikmati. Bot persiaran tersebut dipenuhi oleh masyarakat arab mesir. Ada yang datang bersama keluarga dan berpasangan. Hanya aku dan Farhan sahaja orang asing di atas bot tersebut.  Seorang gadis Mesir berbaju merah mencuri pandanganku. AstaghfiruLLah. Lagu dangdut arab Mesir diperdendangkan. Bingit. Tak faham lirik. Cuaca pula sangat sejuk tambahan berada berhampiran dengan air sungai Nil. Dari atas bot tersebut , kami dapat melihat banggunan- banggunan kota mesir seperti banggunan Novotel, menara kaherah, hotel Nile Hirlton dan beberapa banggunan mewah di sepanjang Sungai Nil tersebut.

Setelah hampir lebih 30 minit bersiar-bersiar menaiki bot tersebut. Cuaca sudah mulai gelap. Lampu-lampu neon sudah mula dipasang. Kelihatan tertulis di sebuah banggunan " Happy New Year 2011". Bewarna warni. Cuaca bertambah sejuk. Angin bertiup agak kencang. Kami berjalan menyelusuri jambatan Tahrir. Kelihatan sebuah patung singa berdiri megah di pintu masuk jambatan tersebut. Pasangan kekasih pula seakan-akan menjadikan jambatan tersebut sebagai tempat melepaskan rindu dan sayang. Seorang lelaki muda memegang sekuntum bunga Ros Merah sambil mengarahkan bunga itu kepada pasangan kekasihnya, ini antara situasi yang boleh dilihat di atas jambatan ini. Tidak kurang juga, masyarakat arab yang mencari rezeki di sini. Penjual bunga juga turut mengambil  kesempatan di kawasan strategik ini. Setelah berulang alik melalui jambatan ini. Kami kembali untuk menunaikan solat maghrib di Masjid Tahrir sebelum bergerak pulang ke kawasan penginapan kami.

...............setelah 10 hari,

"MESIR BERDARAH. MESIR BERGOLAK". Nama kota Tahrir square disebut-sebut oleh seluruh media dunia. Pemandangannya berubah mengejut. Semuanya terjadi akibat demostrasi besar-besaran yang terbesar dan pertama kali diadakan di Mesir. 25 Januari 2011 menjadi hari bersejarah dan disebut-sebut sebagai hari kebebasan Mesir. Bukan sahaja tertumpu di Tahrir Square tetapi di seluruh kawasan Mesir. Para blogger dan peminat setia FB sibuk menulis entri mengenai mesir,mengikuti perkembangan insan yang dikenali di sana, pihak media seluruh dunia juga menjadikan isu ini sebagai bahan utama dan sanggup mempertaruhkan nyawa untuk ke kota seribu menara itu semata-mata mendapat liputan berita yang berharga. Para ibu bapa yang mempunyai anak di negara tersebut mula risau dengan keadaan anak kesayangan mereka di sana. Kerajaan mesir pimpinan Hosni Mubarak makin gila dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Mereka memutuskan sebarang komunikasi daripada rakyat mesir dengan masyarakat luar. Internet, talian telefon disekat, ATM dimatikan. Sangat gila tindakan tersebut. Sejarah yang diukir sangat mengejutkan masyarakat dunia. Harga-harga barang pula melambung naik sehingga secawan Shai atau teh mencecah RM 200 kerana peniaga tiada hati mengambil kesempatan, stok makanan juga berkurang, lapangan terbang pula menjadi tempat tumpuan semuanya kerana masyarakat atau pengunjung dari negara luar ingin kembali ke negara masing-masing berfaktorkan isu keselamatan. Walaupun harga tiket 3 kali ganda naik, tetapi ada yang tetap membeli semata-mata soal keselamatan ini.

Dendam yang disimpan dan dipendam oleh masyarakat arab mesir sudah mula diluahkan seperti gunung berapi yang memuntahkan laharnya. Asapnya sehingga ke angkasa. Penunjuk-penunjuk perasaan mula berani mengutuk, mengeji, menghina pemimpin meraka yang sudah berakar memerintah negara bersejarah tersebut. 30 tahun lamanya Hosni Mubarak memerintah mengaut keuntungan dan menindas rakyat. Sedar tidak sedar si pemimpin berkuku besi itu telah menjadi insan yang terkaya di dunia ini dengan memiliki aset lebih tinggi dari Bill Gates yang dilapor dan disenaraikan sebagai manusia terkaya di dunia dalam majalah Forbes. Sangat mengejutkan.

Di mesir, aku tidak dibenarkan untuk berbicara langsung soal politik negara tersebut . Ugutan-ugutan seperti dipenjarakan di bawah tanah, dtangkap oleh mabahits atau SB-SB mesir yang adakalanya menyamar sebagai pemandu teksi mahupun peminta sedekah sudah menjadi amaran kepada pelajar luar terutamanya.  Sedangkan negara tersebut adalah negara yang dikatakan sebagai negara yang baik untuk mengetahui politik dunia. Ummud Dunia gelaran diberi. Siaran- siaran televisyen juga banyak menayangkan persoalan-persoalan politk dunia. Namun negara ini dikatakan sebagai negara yang tertutup, rakyatnya dikatakan tidak tahu soal isu luar. Ada juga yang menganggap hanya negara mesir sahaja di dunia ini, tidak hairanlah jika ada yang menganggap aku ini manusia yang aneh. Ada juga yang menganggap orang malaysia adalah orang hutan. Sangat pelik.Buta huruf, IT, dan sebagainya memang terjadi kepada sebahagian masyarakat arab Mesir. Persoalan politik di mesir ini disekat adalah bagi menghalang gerakan untuk menumbangkan pemimpin mereka yang telah mengiktiraf Israel sebagai negara rasmi sedangkan seluruh negara lain menidakkannya. Ikhwanul Muslimin yang bergerak secara rahsia di negara tersebut juga tidak mampu untuk melebarkan sayap mereka akibat dipatahkan oleh kerajaan pimpinan Hosni dengan mudah.

Namun kini semuanya telah berubah. Sangat berubah. Rakyat sudah mula berani. Balai polis dibakar mengakibatkan ribuan banduan terlepas. Hura-hara seluruh kawasan terjadi, dentuman demi dentuman seakan-akan bersahutan di sana sini. Masyarakat dari negara luar mula dicari untuk mendapat perhatian apa yang terjadi.

Artifak-artifak berharga seperti topeng Firaun dan segala barang berharga di muzium mesir turut menjadi sasaran masyarakat arab Mesir. Semuanya adalah bagi mendapat perhatian dunia sekaligus membuatkan pimpinan negara mereka bimbang dan tidak senang duduk. Naib presiden Mesir Omar Suleiman yang dikatakan akan menggantikan Hosni Mubarak yang telah memaklumkan tidak akan bertanding dalam pilihanraya september ini turut diancam bunuh. Banggunan-banggunan juga dibakar, trak polis, balai polis dan beberapa banggunan lain turut dijadikan sasaran. Asap hitam berkepul-kepul  menuju langit. Perintah darurat dikeluarkan. Kereta kebal sudah mula memenuhi jalanan, sebahagian tentera juga sudah mula menyertai rakyat di jalanan, kuda dan unta juga turut digunakan sambil jutaan masyarakat arab mesir telah mula memenuhi jalanan. "Yasqitu Mubarok. Irhal-Irhal " tumbangkan Mubarok, rakyat menjerit, memekik tanda bencikan kekejaman dan kezaliman. Kezaliman yang telah menjadi darah daging Hosni Mubarak. Ratusan rakyat mesir menemui ajal di dalam perhimpunan revolusi ini dan ribuan yang tercedera mempertahankan hak diri. Ulama dunia seperti Yusuf Qadrawi juga telah mengeluarkan fatwa syahid kepada mereka yang terkorban. Namun beberapa perselisihan ulama-ulama turut terjadi seperti larangan jatuhkan pemimpin. Siapa yang benar?? siapa yang mahu kezaliman diteruskan??  bagaimana penindasan terus terjadi?? siapa yang bertanggungjawab?? persoalan-persoalan ini perlu kepada satu kata putus. Jangan berkelahi soal ini sedangkan masyarakat arab mesir terus merana diri. Bertempur sesama sendiri. Ada menyokong pimpinan Hosni ada yang membantah dan pelbagai lagi.

Hari demi hari terus berlalu. Mesir terus dijadikan isu utama dalam berita dunia. Di Malaysia sama seperti di Indonesia dan beberapa negara lain, telah selamat menguruskan penerbangan membawa pulang rakyat mereka dari negara bergolak tersebut.  Media massa terus mengalirkan berita-berita dari negara timur tengah tersebut.

Apa akan terjadi pada Mesir setelah ini??????????????

Mesir oh mesir...

Selepas Rejim@Diktator Hosni Mubarak Ditumbangkan, Dr Morsi Al Hafiz dinaikkan. Kemudian Beliau pula digulingkan oleh kudeta tentera Mesir. Kini Mesir terus bergolak. Simbol 4 jari menjadi penguat seluruh pencinta keamanan dan keadilan. R4biA.

Di Tahrir Square Mesir.

Cerpen 7 : Penyesalan Dipujuk Pengalaman


Seawal 7 pagi tadi hujan turun dengan lebatnya. Kes Mahkamah dijadualkan jam 8 pagi. Otakku ligat berlari memikirkan bagaimana mahu pergi. Kalau diredah hujan ini macam-macam boleh jadi. Justeru aku tangguh sebentar menunggu hujan reda kembali.

Ternyata ia tidak memakan masa yang lama, jam 7.40 langit sudah berhenti tangisnya. Aku terus memecut motor Honda biru kepunyaan sahabatku mengikut arah dan laluan yang dituju. Dalam fikiranku cuma satu. Cepatlah tiba destinasiku.

Setelah hampir 40 minit bermain dengan gear dan jiwa, aku tiba ke destinasi iaitu Kompleks Mahkamah Kajang bukan Kompleks Perdana Siswa. Para Pesalah sudah ramai memenuhi ruang di hadapan kaunter pendaftaran. Menanti panggilan dan arahan untuk ke dalam bilik Mahkamah.

Saat itu fikiranku kembali berputar ke satu masa lampau. Iaitu Setahun setengah yang lalu. Saat itu sahabatku menggunakan Motor Modenas Kriss 110 With Electric Starterku untuk ke tempat program di Hulu Langat. Saat memulangkan kembali kepadaku dia menyebut, JPJ menahannya lalu memberi surat Saman yang memerlukan kes selesai hanya di Mahkamah. Pemandu dan Pemilik, dia dan aku, kedua-duanya kena.

Kesalahannya dua iaitu tiada Roadtax dan Insuran. Baru aku teringat, aku terlupa untuk menghidupkannya supaya ada "Roh" semula. Tidak mengapa, mungkin ada hikmahnya. Sudah jadi kesalahanan maka ia memerlukan penyesalan. Saat tibanya hari sebutan kes pada bulan Mei 2011, aku dan Syis pergi Kompleks Mahkamah Kajang seperti mana dijadualkan dalam surat saman. Namun apa yang menghairankan, Mahkamah tersebut sedang dibaikpulih. Tiada tanda-tanda ia sedang digunakan. Aku dan Syis "blur" seribu bahasa. Bukan kami sahaja, tetapi ada beberapa pesalah yang lain. Kami cuba hubungi JPJ dan bertanya pada pihak Polis. Jawapannya sama. Ikut pada surat saman. Maka setelah berjam menunggu, keputusan dan kesimpulan yang dibuat adalah kami pulang ke rumah kediaman. Menganggap surat saman itu sebagai satu igauan bukan kenyataan.

Waktu berjalan begitu pantas dari bulan ke bulan dan masuk tahunan. Tiada satu surat tiba untuk pengesahan atau kesalahan yang dibuat. Fikirku mungkin tiada apa-apa berlaku namun ia terjawab di saat aku cuba hidupkan Roadtax motor. Namaku Blacklist, hatiku terguris. Tak sangka namaku sudah disenarai hitamkan. Kes yang dahulu perlu diselesaikan juga, perlu ambil tarikh baru. Namun 3 bulan perlu menunggu. Aku tenang dahulu. Tarikh baru tidak diambil di situ.

Motor itu masih aku gunakan untuk ke Kuliah namun tidak di luar kawasan yang membahayakan nyawa dan yang berkemungkinan ada polis atau JPJ. Kalau ditahan lagi boleh ditarik motorku kesannya. Kemudian setelah setahun setengah "roh" tidak diberikan pada motor itu, Aku dan Syis mula mengambil tarikh baru yang jatuhnya pada hari Isnin. 21 Oktober 2013.

" semua orang boleh masuk ke dalam bilik sekarang" laung seorang pegawai Mahkamah. Lamunan ku terhenti.

Berebut-rebut pesalah trafik masuk ke Kamar Mahkamah. Sebab nak selesai awal. Hampir 100 orang bilangannya. Ada yang terpaksa duduk di luar bilik kerana tidak muat. Namun ia tidak diuruskan di Mahkamah Majistret tetapi mahkamah Seksyen. Ia dimulakan dengan kes Jenayah berat terlebih dahulu. Menurut staff Mahkamah, hakim itu pertama kali uruskan kes JPJ.

Sekitar jam 9.50. Sebutan dan Perbicaraan kes bermula. Pertama kes seorang Negro yang dituduh memiliki dadah. Setelah dibicarakan, tertuduh dikenakan hukuman Penjara 5 tahun dan 10kali sebatan. Kemudian kes kedua seorang remaja Indonesia didakwa menyamun seorang tauke kedai warga Vietnam di Bangi. Dia dibenarkan diikat jamin Rm10000. Setelah selesai kes itu. Pegawai mahkamah memanggil.

"Meor Farid Asyradi !"

Terkejut aku, dalam ramai-ramai pesalah yang hadir, nama aku yang dipanggil dahulu. Sudahlah aku tiba lewat di Mahkamah. Orang lain yang hadir awal sepatutnya diberi dahulu. Namun mungkin itu rezekiku untuk menjimatkan masa. Macam kes Jenayah pula aku rasa.

Aku tampil di hadapan Hakim, seorang wanita. Berdebar juga jantung ni. Jadi Moderator tak rasa begitu. Pihak Mahkamah membacakan kesalahanku, lalu ditanya mengaku atau tidak. Aku jawab.

"Ya, saya mengaku " dalam hati nak juga cuba kata tak mengaku. 

Lalu ditanya lagi. "ada rayuan?"

"ya saya..saya merayu agar dikurangkan denda seminima yang mungkin, ini kerana saya merupakan pelajar yang masih menuntut di UM, ini juga merupakan kesalahan pertama.........................." ceritaku dengan harapan Hakim terkesan. Namun riak wajahnya tiada sebarang perubahan.

Kesimpulannya. Hakim memberikan denda total 2 kesalahan sebanyak Rm410. Bayar terus di situ. Wang yang baru aku keluarkan di Maybank sebelum bertolak ke situ habis begitu. Sayu. Jumlah itu sudah mampu membawaku Travel ke negara yang baru. Jika Mahu.

Aku pemilik Motor, Syis Pemandu. Kami bersatu untuk denda itu. Cerita habis di situ.

"Penyesalan dipujuk oleh Pengalaman." Bisik hatiku

Pengajarannya. Korang yang tiada roadtax atau Insuran tambahan pula lesen. Jangan terlalu yakin kita sentiasa selamat. Mungkin satu hari nanti kita akan ditahan atau lebih teruk lagi akan berhadapan dengan kemalangan. Justeru, pastikan kita bersih dan selamat dalam urusan seharian  Mohon ambil pengajaran Jangan sampai Kemalangan.


Sekian.
Meor Farid Asyradi Bin Meor Zahidi .
21 Oktober 2013

Cerpen 6 : Naskah Itu Sedang Menunggu.




Bulatan manusia sudah terbina, tidak berbentuk bulat mengikut skemanya. Naskah Quran itu dibuka bersama. Quran yang disebut jika diberikan kepada Gunung maka gunung tersebut tidak sanggup memikulnya. Hanya manusia yang mampu menerimanya. Al Hasyr 21.


Salam diberi oleh ketua bulatan disambut mesra ahli kumpulan. Surah Al Fatihah menjadi pembuka bacaan sebelum majlis dimulakan. Adi memulakan bacaan di muka yang ke 22 surah AL Baqarah. Melepasi kisah mengenai Kiblat. "Hadapkanlah wajahmu Ke arah Masjidilharam. Dan di mana sahaja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu." Ada juga bacaan Adi yang tersilap baris lalu dibetulkan oleh sahabat yang turut melihat. Habis satu muka, disambung oleh sahabat di sebelah pula mengikut pusingan tawaf.

Amirul memulakan bacaan, Adi dan teman yang lain pula memerhatikan bacaan mencari kesalahan untuk diperbetulkan jika kedengaran. Masih lagi kisah berkaitan Kiblat. Bacaan Amirul lancar. Terus disambung muka yang seterusnya oleh Bukhairy menemui ayat yang biasa didengari.

"dan Janganlah kamu menyangka yang terbunuh di jalan Allah itu mati, sebenarnya mereka hidup tetapi kamu tidak menyedarinya" ayat 154. Jika mahu dibahaskan mampu mengambil masa yang lama.

Bacaan diteruskan lalu berjumpa dengan ayat terkenal apabila ada kematian iaitu lafaz,

"Innalillahi wainna Ilaihi Rojiuunn.." Tetapi ia bukanlah semata-mata untuk isu kematian tetapi umumnya adalah kepada mereka yang ditimpa sebarang bentuk musibah. Ayat 156.

Begitu juga dengan lafaz ayat yang berulang kali dibaca oleh para jemaah yang melakukan Umrah atau haji di saat mendaki bukit Safa dan Marwah iaitu

"Inna as-safa wal-Marwata min sha'airillah" bermaksud sesungguhnya Safa dan Marwah merupakan sebahagian Syiar Agama (Allah).

Kemudian disambung pula oleh sahabat seterusnya berjumpa dengan ayat berbentuk penyesalan di mana mereka yang telah melihat balasan Allah di akhirat menyebut

"sekiranya kami mendapat kesempatan di dunia, sudah pasti kami akan berlepas diri dari sebarang bentuk kezaliman dan kejahatan. Diikuti dengan Pesanan Allah Supaya tidak mengikuti jejak Syaitan ditambah pula peringatan bahawa tugas syaitan sememangnya hanya menyuruh manusia melakukan kejahatan dan perkara keji menakutkan.

Masa terus berlalu, ada juga mata yang hampir layu. Helaian demi helaian terus dibacakan, pelbagai jenis lagu digayakan. Ada yang cuba mengikuti gaya bacaan Imam besar Makkah dan ada juga membaca dengan lagu buatan sendiri. Tidak mengapa, yang penting baca dan jika ada kesalahan akan diperbetulkan. Bab demi bab ditemui seperti soal rezeki, hukuman Qisas, wasiat. Kemudian bab kewajipan berpuasa dan keunikannya.

Ayat "fitnah itu lebih kejam dari Membunuh" juga ditemui dan membawa erti dan sisi perbincangan yang besar. Indahnya Kalamullah, Al Quran yang merangkumi keseluruhan isu, aspek kehidupan luaran dan dalaman sehingga menjadi sumber utama rujukan.

Selesai 11 helai bacaan Ayat Suci Al Quran oleh 11 Orang Qari mewakili negeri. Masa yang digunakan tidak sampai satu jam. Kita cubakan bersama menjadikan ia rutin harian. Tadarus bersama. Jika tidak mampu membaca sehelai sehari. Bacalah setengah helai, jika tidak mampu juga bacalah satu ayat daripada jumlah 6666 Ayat.

Pesan sahabat. "kita ni berfacebook bukan main lama, tetapi nak BerQuran bukan main payah setiap masa"

Facebook: Last updated = 2 mins ago.
Twitter: Last tweet = 3 mins ago.
WhatsApp: Last seen = 6 mins ago.
Al-Quran: Last opened = Last Ramadan ?

Travelog 4 : Negara 4

Negara Ke-4:

                                                 

Mata Farid kelihatan dikecilkan gara-gara sinaran cahaya matahari yang benderang. Dia terus merenung ke luar tingkap sambil memikirkan sesuatu. Bas First Coach bergerak pantas menuju ke negara yang terkenal dengan gelaran Kota Singa atau Lion City. Haulid sudah lena diulit mimpi diikuti hampir keseluruhan penumpang termasuk dua orang gadis Singapura yang mesra dipanggil Has dan Uney. Pemandu bas yang segak berpakaian baju korporat warna putih berbelang hijau kelihatan fokus pada pemanduannya. Berbaki 2 jam untuk melepasi imigresen yang memisahkan antara dua negara yang pernah bersama suatu ketika dahulu. Malaysia dan Singapura.


Dan saat ini, negara kecil Singapura ini meliputi 63 buah pulau dan sebahagian tanah besar dengan keluasan hanya 704 kilometer per segi. Seiring dengan Hong Kong, Korea  Selatan dan Taiwan, Singapura juga telah diangkat sebagai ‘4 Asian Tigers’.
Difahamkan, Singapura mempunyai pelabuhan yang tersibuk di dunia dan merupakan pusat tukaran mata wang asing ke-4 terbesar di dunia. Singapura juga dianggap sebagai tempat paling mudah dan mesra untuk menjalankan urusan perniagaan.

Passport bewarna merah dipegang rapi, dibelek-belek dan dicop sebagai tanda masuk ke negara Singapura pada 19 Mei 2011. Petugas di Imigresen Singapura tersebut memberikan senyuman sebagai tanda selamat datang. Perjalanan diteruskan lagi. Cuaca agak panas, dari jauh kelihatan sebuah jambatan teguh memisahkan antara Johor dan Singapura. Bahasa yang digunakan pada papan tanda juga sudah sepenuhnya berubah. Bahasa Inggeris keseluruhannya. Perbezaan negara sudah mula dirasai. Banggunan-banggunan dibina tinggi, tidak kelihatan sedikit kekotoran pada banggunan-banggunan yang dibina termasuk rumah-rumah flat. Kenderaan-kenderaan di situ juga kelihatan mewah, Mazda, Toyota, Honda, Mercedes Benz, Jaguar, dan beberapa lagi jenis kederaan mewah  tidak putus-putus kelihatan di kawasan jalan.

Farid mula memikirkan sesuatu, adakah ini yang disebut oleh orang ramai,

"singapura ni sangat bersih, tapi banyak orang asing"
"Singapura best, tapi mahal lah"
"Singapura ni orang-orang kaya banyak di sana"


Sekali dilihat ada benar kata-kata tersebut, tapi takkan sekadar melihat sahaja tanpa meneliti. Negara Singapura merupakan negara yang keempat pernah dilawatinya setelah negara China, Mesir, dan Indonesia. Negara China yang dikatakan bakal menguasai ekonomi dunia juga pada dasarnya masih berlaku banyak penindasan kepada rakyat, sama juga seperti di Mesir, negara itu sudah lama bertapak di peta dunia tetapi masih berada jauh di belakang negara-negara kecil seperti Brunei dan Malaysia. Kadar kemiskinan yang tinggi sangat berleluasa. Pimpinan negara tersebut yang menjadi punca sehingga menyebabkan kebangkitan anak muda melakukan revolusi menukar pimpinan negara. Di Indonesia, jika dilihat melalui sinetron Indonesia samaada, Bawang Merah Bawang Putih, Anakku Bukan Anakku, Cinta Marshanda, Mutiara Hati dan sebagainya seakan-akan digambarkan kehidupan di sana mewah-mewah sahaja. Tidak hairanlah ada rakyat indonesia yang mengatakan "usah percaya cerita-cerita itu, semuanya menipu". Benar, dalam kemewahan kota jakarta, kepadatan rakyat Indonesia dan keluasan negara . Masih ramai lagi yang ditindas dan tidak diberi perhatian. Bagaimana pula dengan negara Singapura ini. Fikiran Farid terus berfikir.

Langkah diatur, Stesen MRT dituju, Sistem Pengangkutan Gerak Cepat atau bahasa inggerisnya Mass Rapid Transit, MRT ialah sebuah sistem alihan laju yang membentuk tulang belakang sistem kereta api di Singapura, menjangkau keseluruhan negara kota itu. Bahagian permulaan MRT, di antara Stesen Yio Chu Kang dan Stesen Toa Payoh, dibuka pada 1987, menjadikannya sebagai sistem metro kedua tertua di Asia Tenggara, selepas Sistem LRT Manila. Ia seakan sama dengan LRT di Malaysia mungkin dari sudut kelajuannya sedikit berbeza.  Kawasan Paya Lebar dan Geylang dituju. Tertulis di sebuah banggunan bewarna Hijau putih " Madrasah Wak Tanjung" tempat beberapa orang sahabatnya pernah belajar menimba ilmu duniawi dan ukhrawi. Madrasah tersebut terletak berdekatan dengan Masjid Wak Tanjung yang seakan-akan dihimpit oleh banggunan-banggunan yang tinggi. Kelihatan sebuah bas dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) baru usai melawat Madrasah Tersebut, salah seorangnya adalah Mudir Pulai Chondong yang merupakan bekas Mudir Haulid.

(Farid terus berfikir apa yang ingin dia tulis di blognya dan inilah hasilnya:)

......................

"Perjalanan diteruskan lagi, langkah diatur rapi melepasi banggunan-banggunan yang tinggi. Dimulai dengan singgah di restoran Melayu Geylang, kemudian rumah kakak Unaizah yang terletak di Pasir Ris dan kemudian pada malamya melawat NUS atau National University Singapore  yang merupakan universiti  tertua di Singapura dan universiti yang terbesar di negara itu dari segi bilangan pendaftaran pelajar serta kurikulum yang ditawarkan. Sejak 1 April 2006, universiti ini telah menjadi sebuah syarikat universiti bukan untung yang berhad dengan jaminan.
setelah itu , menuju ke Jurong East menziarahi rumah Siti Khadijah atau nama famousnya Jaja Diranie untuk makan malam, terima kasih diucapkan atas makanan dan duit rayanya:)..

Setelah itu pulang ke rumah kakak Unaizah untuk ambil beg pakaian dan pergi rumah seorang lagi kakak Unaizah sebagai tempat penginapan. Sangat mewah. Alhamdulillah. Sangat terkesan dengan kebaikan keluarga Uney dalam menerima tetamu, persis Nabi kita yang sangat memuliakan tetamu.

Kelihatan Farid dan sahabatnya Haulid diulit mimpi di bilik yang sangat indah berseri.


-USS- You Will Never Find The Book-

Langkah dituju ke MRT, Bas yang sangat bersih dan bercirikan sistem tiket yang unik dinaiki. Hari itu merupakan hari untuk merasai kehebatan Universal Studios yang telah dibuka pada bulan Januari 2010, merupakan taman perrmainan Universal Studios yang pertama kali dibuka di wilayah Asia Tenggara, dan merupakan yang kedua di wilayah Asia setelah Universal Studios Japan. Taman permainan yang bertemakan filem-filem terkenal Hollywood produksi Universal Studios ini terletak di Pulau Sentosa, Singapura. Harga tiket bernilai 58 dollar Sg bersamaan sekitar RM140..


"Are you ready, let's go",seorang petugas wanita di kawasan Battlestar Galactica bersuara. Sejurus itu roller coaster yang dinaiki memecut laju dan berpusing meluncur laju di atas landasannya. Jeritan dari penumpang  mula didengari tidak putus-putus.

Suasana berubah seram, bunyi lagu arab mula kedengaran, pintu utama dimasuki, suasa gelap gelita, cahaya kemerahan mula kelihatan, seakan-akan api. Kelihatan sebuah patung tegak bediri dan ada yang seakan-akan dirantai tapi mahu melepaskan diri. Kawasan The Mummy itu berlatarkan muzik yang agak menyeramkan. Roller coaster khas untuk merasai perjalan kisah tersebut disediakan. Farid dan sahabat-sahabatnya sudah memasuki perut kenderaan tersebut.
Beberapa saat sahaja kenderaan itu sudah ditelan kegelapan, suara dari watak-watak filem The Revenge Of The Mummy mula kedengaran. You Will Never Find The Book!!!. Sangat menakjubkan. Untuk merasainya dengan lebih mengerti klik di sini

 http://www.youtube.com/watch?v=VzRPBLPmzJQ&feature=related...

..........

Kemudian ke kawasan, Madagascar, The Lost World, kawasan Hollywood, New york City, dan antara yang menarik adalah di Far Away, penayangan Filem 4D Shrek yang sangat meakjubkan seakan-akan kita merasai berada dalam filem tersebut..Setelah itu, keluar dari Pulau Sentosa dan menunaikan Solat. Setelah itu makan malam dan pulang ke rumah awal. Kerana terasa amat penat. :)


*Kejapnye, Datanglah lagi :)

Pagi itu sementara menunggu kedatangan tourist guide yang sangat awal:), sempat berdiskusi bersama kakak Uney, banyak pengetahuan yang dapat perihal hak orang melayu di sana terutamanya, nak cari kerja juga susah, dan ada yang terpaksa tanggal tudung untuk mendapat pekerjaan, tapi setelah dapat, pakai semula, cuba bayangkan nilai sebuar rumah flat adalah sebanyak 360 ribu dollar SIngapura bersamaan kira-kira RM750 RIBU , samapi bila pon takkan dapat bayr dan rumah itu menjadi hak milik sendiri hanya 99 tahun sebelum jatuh ke tangan kerajaan semula, tidak hairanlan kerana dikatakan Singapore is a Fine City. Mencekau duit rakyat sahaja.

Setelah berdiskusi ilmiah bersama kakaknya, perjalanan diteruskan ke kawasan Bugis, Unaizah Has belanja makan, katanya mak suruh belanja:) terima kasih, kemudian Solat di Masjid sultan dan kemudiannya ke Kawasan Bugis Street untuk membeli belah, habis juga 50 dollar SG di situ, seterusnya ke kawasan kota utama yang pasti dikunjungi oleh pelancong Seperti Esplanade ,Flyers dan Di situlah terletaknya Merlion Singapura atau mudah dikenali sebagai kepala singa yang pancut air dari mulutnya:)..Tapi saat itu, Merlion tersebut sedang dibaiki akibat kena panah kilat. Sebab apa tu agaknya ya. Farid berfikir, dalam fikirannya mungkin sebagai amaran dari Allah.


Setelah itu bergerak ke Tampines untuk menziarahi rumah Hasanah, Sup tulang dihidangkan, tapi agak berlainan dari malaysia kerana ia seakaan-akan kari. Menghirup sum-sum diajarkan oleh "pencinta kucing" tapi Farid tidak melakukan. Setelah usai solat maghrib, perjalanan diteruskan ke rumah Abang Faizal ( Suami kak Long Uney), bersiap-siap untuk dihantar ke Tanjung Pagar. Stesen Kereta Api yang bakal ditutup dan dipindahkan ke Woodland. Sebelum pulang dapat lagi duit raya:) dan
Farid juga sempat memberi sedikit cenderahati kepada mereka. Alhamdulillah. Teringat pesan kakak Uney dan Abang Faizal. Kejapnye, Datanglah lagi, tidur je di sini.. InsyAAllah..:)

Penutup:


Terima kasih dan jka ada istilah lebih tinggi dari terima kasih itulah selayaknya buat semua yang terlibat menjayakan perjalanan ini. Singapura pada keseluruhannya sangat menarik untuk dikunjungi tapi duit kene cukuplah. Ini pon selamat banyak yang ditanggung. Penginapan, makanan, Ezlink(kad pengangkutan di sana, naik bas, mrt semua pakai tu..itu pon ditanggung:) siap dapat "duit raya" lagi..Syukran sangat-sangat...Kepada  Unaizah dan keluarga, Hasanah Jamaludin dan keluarga, Jaja diranie dan keluarga .kepada amirah, Abang Faizal dan semua yang terlibat..Jasa kalian sangat bermakna dalam hidup ini,,Moga diberkati Illahi..Amiiin...Alhamdulillah..

Jumlah keseluruhan sendiri Hanya RM200..:) Speechless..


                              

Kisah 2: Permusafiran Penuh Teguran. Part 1


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Jujur jari jemari ini sudah lama tidak menari menaip entri terkini. Hampir sahaja password blog ini luput dari ingatan, masakan tidak sudah berbelas bulan tiada post tambahan.

Jika ingin mengomel pastinya memakan masa yang lama untuk dibaca, tujuan penulisan ini juga adalah untuk persediaan menulis latihan Ilmiah pada semester hadapan. Biar ada rasa semangat itu hadir dalam diri si pemalas ini.

Istilah MUSAFIR sangat dekat dengan diri ini. Teman-teman seringkali bertanya kepada aku setiap kali waktu Cuti :

Sahabat : weh Radi, cuti ni ko ke mana jer?
Aku : tak tahu lagi, kalau ada rezeki ada la.

Jikalau difikirkan perihal rezeki, ulat dalam batu juga mampu hidup berdikari. Aku bukan orang yang kaya, namun aku punya jiwa dan rasa ingin menjelajahi dunia. Jujur, di sini kita bermain dengan niat dan azam kita. Jika kita ingin sesuatu, pastikan ia berlaku. Untuk ia berlaku pasti laluannya berliku-liku.

Bermula tahun 2010 aku sudah mula ke luar negara dimulai dengan negara China (sudah diceritakan di post sebelum ini), diikuti negara Mesir (tidak cerita secara menyeluruh), kemudian Indonesia (ada juga post berkaitan dengannya), diikuti pula Singapura ( sudah dinukilkan ), diteruskan lagi dengan negara Thailand ( belum dikongsi lagi kisahnya), kemudian Korea ( masih ternanti-nanti untuk menulis mengenainya), seterusnya Sri Lanka ( akan dikongsi kisahnya) dan Terakhir Saudi Arabia .
8 negara kesemuanya tidak termasuk Kuwait yang hanya transit sahaja.

Kesemua negara-negara ini ada kisahnya tersendiri dan yang pasti saya teringin sekali ingin berkongsi berkaitan kehidupan masyarakat di sana terutamanya masyarakat Islam. Rugilah sekiranya kita ke negara orang cuma berjalan untuk keseronokan. Maka saya lakukan sesuatu yang bermanfaat untuk semua iaitu sedikit kajian yang akan saya rekodkan melalui penulisan.


Baiklah, bila kita bercakap soal Saudi Arabia, pastinya kita akan terbayang masyarakat arab, orang yang kaya, pendidikan percuma dan sebagainya. Namun bila kita bercakap mengenai Umrah atau Haji, ialah lebih specific, kita terbayang Masjid Nabawi yang berkubah hijau, dan Masjidil Haram yang terletaknya Kaabah di tengahnya. Menjadi Qiblat umat Islam seluruh dunia.

Tidak tahu saya ingin mula dari mana, bila teringat mengenai kisah perjalanan ke sana, bibirku menguntum senyuman dan kadang-kadang air mata mengalir tanpa diundang.

Sebenarnya perancangan ke kota Makkah dan Madinah sudah lama dirancang sejak tahun lepas lagi. Sudah saya maklumkan kepada kedua iba bapa dengan lafaz :

Aku : Mak, arid cadang nak pergi umrah la bulan 7 (2012) ni, Ramadhan di sana.
Mak : oo.. Ok. Kumpul duit.
Aku : ok.

Perbualan ini hanya bermula di FB semata, biar ibubapa tahu dulu hajat anaknya.

Namun, ia tergendala kerana tawaran International Student Centre U.M yang memberiku peluang untuk Ke Korea selama tiga minggu. 70 % ditanggung oleh U.M dan 30% sendiri (sekitar Rm600). Saat tawaran ini kuterima, terus ku hubungi ibu untuk minta pendapatnya. Aku sedikit pon tidak terfikir untuk ke Korea, aku bukannya peminat filem korea, Kpop dan sebagainya. Pendek kata, Korea tiada dalam kamus hidupku. Namun perancangan Allah itu lebih baik. Kita rasa dulu baru kita tahu. Memandangkan wang tabunganku masih belum cukup untuk umrah yang memakan kos yang agak tinggi, aku terus menerima tawaran ke Korea.



Saat itu, aku sudah terfikir. Lambat lagilah nampaknya aku akan ke tanah suci, wang tabungan sudah habis digunakan  sewaktu berada di Korea. Namun Allah itu maha pemurah, aku masih diberi peluang untuk mengajar Home Tuition yang gajinya Alhamdulillah mampu membuatku berfikir semula mengenai perancangan ke Tanah suci sedangkan teman-temanku yang lain berkira-kira untuk beli motor baru mahupun gadjet terbaru.

Nah, masanya sudah tiba. Wang sudah terkumpul walaupun belum cukup sebenarnya. Sebulan sebelum bertolak ke Tanah suci, aku masih tercari-cari agensi yang termurah. Pada awalnya ingin saja aku pergi secara sendiri, tanpa melalui agensi. Namun Visa umrah hanya boleh diambil melalui agensi. Aku ingin pergi dengan Kos yang paling kecil.

Kisah Permusafiranku bermula di sini :

Selesai urusan kos dengan Syarikat Darul Mubarak yang menawarkan harga agak menarik dengan kos Rm4850, namun saya tolak kos makanan dengan tujuan untuk makan sendiri tanpa pakej yang diberikan. Justeru menjadikan kos yang perlu aku bayar hanya Rm4400.

KLIA ke Sri Lanka.



Tarikh 30 Februari menjadi titik tolak permusafiran ini, bermula dengan salah faham waktu perjalanan dan kelewatan aku ke Airport telah menjadikan aku dikenali di kalangan jemaah umrah yang terdiri dari mak cik dan pak cik yang tidak ku kenali. Bayangkan aku dimaklumkan Flight berlepas pada jam 8 malam, walhal sebenarnya flight berlepas jam 4 petang. Mujur aku tiba 5 minit sebelum kaunter check In Bagasi ditutup. Ketua rombongan maklumkan pada aku yang semua jemaah sudah berdoa supaya saya sempat tiba dan tidak terlepas. Kalau terlambat, pastinya aku tidak akan ke tanah suci.

Bermula pada waktu itu, nama Meor sudah mula disebut-sebut oleh jemaah Umrah. Umur aku yang masih muda ini membuatkan makcik mak cik dan pakcik-pakcik tertanya-tanya. Ini kerana Saya pergi seorang diri tanpa keluarga mahupun kenalan di sisi......

Bersambung......

Kisah 1 : Haromi Qolbi (part 1)

By: Meor Farid Asyradi Bin Meor Zahidi

Part 1: -----------


Masjid Al Munzirin Sekolah Menengah Dr. Raja Nazrin Shah( SARJANA) kelihatan sunyi  dan suram.  Kelihatan para pelajar duduk tekun mendengar bait-bait ucapanku. Pelajar perempuan yang kemas bertelekung juga sudah hampir melimpah ke kawasan luar masjid. Aku yang agak gugup terus memberikan tazkirah bertajuk “ Hiburan Dalam Islam “ yang menekankan soal bagaimana seseorang  yang bergelar muslim berhibur untuk mengisi masa lapang mahupun menghilangkan tekanan dengan cara yang agama tetapkan, bukannya mengikut hawa nafsu jauh sekali bersifat hindonisme iaitu hiburan yang melampau. Masa berputar laju, tazkirah maghrib yang pada awalnya agak berat bagi aku seakan-akan menjadi ringan dan seronok kerana dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

“ berat juga ana nak habiskan ceramah ana ni, tapi disebabkan isyak pon dah masuk, terpaksalah ana berhenti ya. Satu lagi perkara yang mungkin agak mengejutkan, ana ingin mohon maaf jika sepanjang ana berada di sini, ana ada melakukan kesilapan yang mungkin ana tak sedari, kita manusia pasti ada melakukan kesalahan, ana juga doakan kepada sahabat-sahabat seperjuangan untuk tamatkan STAM dengan mendapat keputusan yang baik, kepada pelajar PMR dan SPM pula, lakukan yang terbaik dalam peperiksaan yang makin hampir ni. Ana tak dapat habiskan STAM kerana mendapat tawaran belajar di tempat lain. Ana dah buat keputusan yang ana rasa terbaik untuk hidup ana. Sekali lagi ana mohon maaf. Dah-dah, jangan nak sedih-sedih macam drama pula. Sekian, wabillahhi taufiq wal hidayah. Wassalammualaikum wa rahmatulllahi wa barokaatuh.”

Salamku disambut hampir serentak oleh para pelajar . Ada yang seakan-akan terkejut kerana mendapat tahu bahawa hari tersebut adalah hari terakhir aku di SARJANA, terutamanya anak usrahku. Walaupun usrah yang aku jalankan hanya sekali seminggu dengan mengumpulkan adik-adik usrah daripada tingkatan satu hingga lima yang kesemuanya berjumlah 10 orang, aku sudah berasa seperti sangat dekat dengan mereka. Setiap kali perjumpaan, ada sahaja soalan-soalan yang mereka lemparkan dan adakalanya soalan-soalan yang ditanya menjangkaui  pemikiranku sebagai seorang yang digelar naqib di sini. Naqib, panggilan yang adakalanya membuatkan diriku malu dengan gelaran tersebut dek kerana tingginya tahap menjadi seorang naqib. Tetapi aku...sikap aku, cara hidup aku..... Pernah aku katakan kepada anak usrahku.

“jangan gelar ana sebagai naqib kerana nak menjadi seorang naqib ini sangat susah, perlu melepasi beberapa fasa terutamanya tahap pemikiran. Panggil sahaja abang Radi. Jujur ana katakan, kalau nak bergelak tawa atau bergurau senda dengan ana. Tafaddol. Korang pon tau kan perangai ana ni gila-gila sikit. Tapi satu je ana minta, jangan naik kepala ye. Naik kepala siaplah…. Ana gurau jela dik, jangan takut, tapi yang penting jaga adab, itu je ok.”  Aku sempat menerangkan istilah naqib itu sendiri sambil memberi amaran supaya jaga adab-adab dengan orang yang lebih tua. Bak kata-kata yang pernah aku dengari. “Yang muda disayangi dan yang tua dihormati.”

……………………………………………………………

“Radi, anta betulke nak pindah.” Sapa Hafiz secara tiba-tiba.

“oh Hafiz, terkejut ana, ingat sape tadi. Ye. Serious.  Ana dah fikir habis-habis dah, sampai nak pecah kepala ni fikir.” Aku menjawab spontan. Sambil tanganku tangkas menyusun pakaian yang sudah dilipat ke dalam beg.

“tapi aritu anta dah janji dengan ana dan sahabat-sahabat lain nak habiskan STAM dan belajar di Azhar sama-sama,”

“ye ana tau, tapi ana tak mampu Fiz, maaf sangat-sangat. Ana rasa memang ni adalah keputusan yang terbaik. Anta pon tahukan, result ana untuk peperiksaan aritu ada lima gagal. Banyak tu Fiz, dahla ana ni agak malas orangnya.

“alasan anta je tu, ana yakin anta mampu Radi. Ana pun gagal lima subjek juga. Cuba tengok kawan-kawan yang lain. Banyak je yang gagal. Ana tak nafikan, memang agak susah exam aritu, inikan baru permulaan,  takkan sebab tu anta nak pindah. Anta sebilik dengan Syazwan. Syazwan boleh ajar anta ,dia masyi.”

“ Fiz, bukan sebab tu je la, ada sebab-sebab yang  tertentu. InsyaAllah. Nanti kalau ana sambung master ke PHD ke, ana jengukla korang semua di sana ok.”

“apa-apa ajela anta ni”

“Fiz!!”

.................................



“Radi jom, dah nak masuk Flight, menung  pula dia” Farhan melenyapkan lamunanku. Kisah silamku ghaib serta merta umpama cahaya.

Telefon bimbitku diambil sambil jariku menaip:

-mnuju ke dlm Flight. Akan transit di Kuwait dan kmudian ke Cairo. Doakn smoga slmt smpai. Amiin. Moga diberkati- . Mesej ini terus dihantar ke nombor 32665 iatu FB mobile untuk  dipaparkan di dinding Facebook aku. Lebih mudah dan jimat.

Beg galasku disandang rapi. Agak berat muatannya.  Kakiku terus melangkah mengekori sahabat-sahabat yang lain memasuki perut Pesawat Kuwait 416 yang bewarna putih berbelang biru. Mataku melilau mencari tempat duduk bernombor 26A. Pesawat Kuwait itu kelihatan lebih besar berbanding pesawat Shenzen Airlines ketika aku bermusafir ke negara China suatu masa dahulu. Tempat dudukku agak mudah dijejaki kerana berada di tepi tingkap pesawat. Setelah usai meletakkan beg galas, aku melabuhkan punggung ke kerusi yang sangat empuk walaupun aku yakin, aku akan bosan dengan kerusi tersebut dek perjalanan yang terlalu lama. Selang beberapa minit, kapten pesawat mengingatkan para penumpang untuk memakai tali pinggang keselamatan. Pramugari dan pramugara turut menjalankan tugas untuk memastikan para penumpang sudah berada dalam keadaan selamat sebelum berlepas. Tegakkan kerusi, matikan telefon bimbit, pasangkan tali pinggang dan beberapa peraturan lain adalah perkara lazim yang akan diingatkan oleh krew-krew penerbangan. Semuanya adalah soal keselamatan.

Loceng keselamatan berbunyi. Tanda mahu berlepas . Mataku tidak berkedip melihat keadaan luar yang gelap. Pesawat meluncur laju dan hanya tunggu masa untuk melepaskan diri dari cengkaman graviti bumi. Setelah memecut laju beberapa saat, akhirnya pesawat tersebut sudah berada di awangan.

“Alhamdulillah.” Bisikku di dalam hati  sambil fikiranku teringat beberapa peristiwa kapal terbang yang tidak berjaya berlepas malah ada yang jatuh dan terhempas ke bumi semula. Nauzubillah.

Mataku tidak mampu dipejamkan. Apa yang aku fikirkan adalah, apakah misi dan realiti yang bakal aku hadapi di sana nanti.  Sahabat-sahabatku yang lain ada yang sudah lena diulit mimpi, mungkin kepenatan dikuarantinkan sebelum berlepas tadi. Di sebelahku ialah Rizal yang berbadan agak berisi, dia pula sedang khusyuk menonton filem di skrin yang terletak dibelakang kepala kerusi hadapannya. Aku juga turut membuka skrin tersebut, tetapi hanya melihat paparan perjalanan pesawat yang melalui peta dunia. Rasa kagum dan teruja terbit di dalam hatiku. Kagum kerana akal yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia telah digunakan semaksimanya sehingga memungkinkan adik beradik Wright berfikir untuk mencipta kapal terbang. Kisah sejarah ini sudah diketahui umum, bagaimana orang ramai mentertawakan adik beradik  yang digelarkan sebagai gila ini kerana mahu mencipta kapal di padang bukannya di laut. Apabila ditanya oleh orang kampung mengapa adik beradik yang dikatakan gila ini membina kapal di padang bukan di laut, apa jawapan yang adik beradik wright berikan.

“kami bukan mahu mencipta kapal laut, tetapi kapal terbang.” Jawapan yang diberikan oleh adik beradik ini membuatkan hilai tawa orang kampung lebih tinggi nadanya.

Hilai tawa orang kampung hanya dapat dibisukan setelah Orville dan Wilbur Wrights ini berjaya membina dan menerbangkan kapal terbang pertama dalam dunia seberat 337 Kg pada 17 disember 1903 di Kitty Hawk, utara Carolina. Peristiwa ini telah menjadi sejarah dan pencetus kepada idea yang lebih moden  dan hebat saat ini. Terutamanya dari segi kecanggihan sesebuah pesawat.

Pesawat terus meluncur laju ke arah lapangan terbang Kuwait. Perjalanan yang memakan masa hampir 8 jam ini membuatkan mataku mengantuk dan akhirnya gelap dan lelap, cuma dikejutkan saat pramugara dan pramugari yang beruniform kemas semangat mengagihkan makanan pada para penumpang.

Pesawat terus meluncur laju membelahi  suhu langit yang mencecah -50 darjah celcius.  Setelah lebih 7 jam perjalanan. Pesawat Kuwait Airways selamat mendarat di  lapangan terbang antarabangsa Kuwait. Perbezaan masa dan cuaca sudah mula aku rasai.