Wednesday, October 30, 2013

Cerpen 6 : Naskah Itu Sedang Menunggu.




Bulatan manusia sudah terbina, tidak berbentuk bulat mengikut skemanya. Naskah Quran itu dibuka bersama. Quran yang disebut jika diberikan kepada Gunung maka gunung tersebut tidak sanggup memikulnya. Hanya manusia yang mampu menerimanya. Al Hasyr 21.


Salam diberi oleh ketua bulatan disambut mesra ahli kumpulan. Surah Al Fatihah menjadi pembuka bacaan sebelum majlis dimulakan. Adi memulakan bacaan di muka yang ke 22 surah AL Baqarah. Melepasi kisah mengenai Kiblat. "Hadapkanlah wajahmu Ke arah Masjidilharam. Dan di mana sahaja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu." Ada juga bacaan Adi yang tersilap baris lalu dibetulkan oleh sahabat yang turut melihat. Habis satu muka, disambung oleh sahabat di sebelah pula mengikut pusingan tawaf.

Amirul memulakan bacaan, Adi dan teman yang lain pula memerhatikan bacaan mencari kesalahan untuk diperbetulkan jika kedengaran. Masih lagi kisah berkaitan Kiblat. Bacaan Amirul lancar. Terus disambung muka yang seterusnya oleh Bukhairy menemui ayat yang biasa didengari.

"dan Janganlah kamu menyangka yang terbunuh di jalan Allah itu mati, sebenarnya mereka hidup tetapi kamu tidak menyedarinya" ayat 154. Jika mahu dibahaskan mampu mengambil masa yang lama.

Bacaan diteruskan lalu berjumpa dengan ayat terkenal apabila ada kematian iaitu lafaz,

"Innalillahi wainna Ilaihi Rojiuunn.." Tetapi ia bukanlah semata-mata untuk isu kematian tetapi umumnya adalah kepada mereka yang ditimpa sebarang bentuk musibah. Ayat 156.

Begitu juga dengan lafaz ayat yang berulang kali dibaca oleh para jemaah yang melakukan Umrah atau haji di saat mendaki bukit Safa dan Marwah iaitu

"Inna as-safa wal-Marwata min sha'airillah" bermaksud sesungguhnya Safa dan Marwah merupakan sebahagian Syiar Agama (Allah).

Kemudian disambung pula oleh sahabat seterusnya berjumpa dengan ayat berbentuk penyesalan di mana mereka yang telah melihat balasan Allah di akhirat menyebut

"sekiranya kami mendapat kesempatan di dunia, sudah pasti kami akan berlepas diri dari sebarang bentuk kezaliman dan kejahatan. Diikuti dengan Pesanan Allah Supaya tidak mengikuti jejak Syaitan ditambah pula peringatan bahawa tugas syaitan sememangnya hanya menyuruh manusia melakukan kejahatan dan perkara keji menakutkan.

Masa terus berlalu, ada juga mata yang hampir layu. Helaian demi helaian terus dibacakan, pelbagai jenis lagu digayakan. Ada yang cuba mengikuti gaya bacaan Imam besar Makkah dan ada juga membaca dengan lagu buatan sendiri. Tidak mengapa, yang penting baca dan jika ada kesalahan akan diperbetulkan. Bab demi bab ditemui seperti soal rezeki, hukuman Qisas, wasiat. Kemudian bab kewajipan berpuasa dan keunikannya.

Ayat "fitnah itu lebih kejam dari Membunuh" juga ditemui dan membawa erti dan sisi perbincangan yang besar. Indahnya Kalamullah, Al Quran yang merangkumi keseluruhan isu, aspek kehidupan luaran dan dalaman sehingga menjadi sumber utama rujukan.

Selesai 11 helai bacaan Ayat Suci Al Quran oleh 11 Orang Qari mewakili negeri. Masa yang digunakan tidak sampai satu jam. Kita cubakan bersama menjadikan ia rutin harian. Tadarus bersama. Jika tidak mampu membaca sehelai sehari. Bacalah setengah helai, jika tidak mampu juga bacalah satu ayat daripada jumlah 6666 Ayat.

Pesan sahabat. "kita ni berfacebook bukan main lama, tetapi nak BerQuran bukan main payah setiap masa"

Facebook: Last updated = 2 mins ago.
Twitter: Last tweet = 3 mins ago.
WhatsApp: Last seen = 6 mins ago.
Al-Quran: Last opened = Last Ramadan ?

No comments:

Post a Comment